Clicks tawar papan kekunci kepada pengguna iPhone Malaysia - Utusan Malaysia

Clicks tawar papan kekunci kepada pengguna iPhone Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Clicks Technology, bersama pengedar rasminya, Swap Asia, melancarkan Clicks aksesori papan kekunci pertama yang ditawarkan secara eksklusif kepada pengguna iPhone Malaysia yang bakal meningkatkan fungsi penggunaan telefon bimbit berkenaan.

Clicks disediakan untuk dua model iPhone iaitu iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max dengan masing-masing berharga RM669 dan RM769 dengan pelbagai warna iaitu London Sky, Royal Ink, Bumble Bee dan Miami Beach.

Ketua Pegawai Pemasaran Clicks Technology, Jeff Gadway berkata, Malaysia menjadi antara negara pilihan kerana mempunyai potensi yang besar.

“Kami melihat trafik yang banyak dan jualan secara langsung melalui laman web clicks.tech.

“Jadi, kami merasakan ini adalah bukti betapa progresifnya Malaysia dalam hal teknologi dan menjadi pasaran di mana banyak syarikat datang terlebih dahulu untuk melihat apa produk inovatif baru yang akan datang.

“Clicks Technology juga sedang diuji pada model iPhone lain bermula dari model 14 pro dan ke atas serta sedang mempertimbangkan pilihan daripada model Android,” katanya ketika Majlis Pelancaran Clicks Bersama Media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengasas Bersama Clicks Technology, Michael Fisher @ Mr. Mobile berkata, Clicks menampilkan papan kekunci yang lengkap dengan butang sebenar.

“Clicks menawarkan pengguna pengalaman menaip yang mungkin memberikan kepantasan dan ketepatan ketika menggunakan peranti.

“Clicks juga memberi pengguna iPhone lebih kawalan ke atas telepon mereka dengan jalan pintas kepada papan kekunci dan kekunci khusus baharu yang menyerlahkan sepenuhnya fungsi iOS, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Swap Asia, Andy Tan berkata, Swap Asia berbesar hati dapat bekerjasama dengan Clicks Technology untuk membawa produk inovatif ini ke rantau ini.

“Pemacuan mereka untuk inovasi seiring dengan visi dan budaya kami yang memberi kami peluang mencipta nilai lebih kukuh untuk pelanggan Malaysia.

“Kami teruja memanfaatkan kepakaran dan kehadiran pasaran kami untuk memacu pertumbuhan Clicks di Malaysia, seterusnya menawarkan pengguna iPhone pengalaman unik dan dipertingkatkan buat kali pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya