KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan sasaran iklim 2030 untuk portfolio minyak dan gas dan hartanah, sekali gus menjadi bank Malaysia pertama yang melengkapkan penetapan sasaran nyahkarbon 2030 untuk sektor yang berpelepasan tinggi.
Sektor-sektor lain termasuk perlombongan arang batu haba, simen, minyak sawit dan kuasa (utiliti), sejajar dengan usaha untuk mencapai komitmen Sifar Bersih menjelang 2050.
CIMB juga telah mengemas kini kertas putihnya yang diterbitkan sebelum ini, memperincikan rancangan nyahkarbon serta menggariskan laluan khusus sektor dan strategi segera secara teliti untuk kesemua enam sektor yang menyumbang kepada 60 peratus portfolio pembiayaan pelepasan CIMB setakat 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu berkata, sasaran nyahkarbon 2030 CIMB menandakan satu pencapaian penting ke arah merealisasikan sasaran Sifar Bersih jangka panjangnya menjelang 2050.
Katanya, dengan menghuraikan matlamat jangka panjang ke atas pencapaian yang boleh diukur dan dilaksanakan, pihaknya membuka jalan untuk kemajuan yang nyata.
“Selain usaha kami dalam melaksanakan langkah proaktif untuk menangani risiko iklim dalam portfolio kami serta menggalakkan amalan kewangan yang mampan, CIMB juga kekal komited untuk menyokong dan memperkasakan pelanggan kami dalam peralihan ke amalan perniagaan yang lebih mampan.
“Selain itu, rancangan nyahkarbon untuk sektor-sektor ini telah direka khas dengan teliti, sejajar dengan dasar kerajaan setiap negara.
“Ini menggambarkan dedikasi kami untuk memajukan objektif nasional di seluruh rantau di mana kami beroperasi,” katanya pada sesi Meja Bulat Kelestarian CIMB 2024 di Menara CIMB di sini, semalam.
Gurdip berkata, CIMB komited untuk membantu pelanggan minyak dan gasnya dalam pelaksanaan usaha nyahkarbon serta peralihan ke arah sumber alternatif boleh diperbaharui dan rendah karbon dalam portfolio mereka.
“Justeru, CIMB menyasarkan untuk memudahkan peralihan dengan mengurangkan Intensiti Pinjaman Pelepasan Dibiayai (FELI) bagi portfolio minyak dan gasnya sebanyak 16 peratus menjelang 2030.
“Sasaran ini merangkumi pelepasan Skop 1, 2 dan 3 yang berasal dari penerokaan huluan tulen dan syarikat pengeluaran serta pemain minyak dan gas bersepadu,” ujarnya.
Pada masa sama, mulai 1 Januari 2025, CIMB juga akan menghentikan pembiayaan baharu khusus untuk penerokaan medan minyak huluan baharu yang diluluskan untuk pembangunan pasca 2021.
Tambahnya, CIMB juga telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan intensiti pelepasan operasi portfolio hartanah komersialnya sebanyak 34 peratus menjelang 2030.
“Sasaran interim ini, yang terdiri daripada pelepasan Skop 1 dan 2 oleh pelanggan hartanah CIMB ditetapkan sejajar dengan peningkatan dalam kecekapan tenaga yang dinyatakan oleh Pemantau Hartanah Risiko Karbon (CRREM) tetapi menggunakan kadar nyahkarbon grid kuasa selaras dengan laluan Senario Ikrar yang Diumumkan IEA (APS),” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada rancangan nyahkarbon tersebut akan memberi impak kepada pertumbuhan pembiayaan bank, beliau berkata, pihaknya positif dalam pertumbuhan berikutan matlamat yang ingin dicapai adalah selari dengan peralihan oleh pelanggannya.
“Jadi, jika pelanggan perlu melabur dalam teknologi penangkapan karbon untuk salah satu kilang besar mereka, ini amat bertepatan.
“Keadaan itu akan sejajar dengan pengurangan dan sasaran kami. Kami berkemungkinan agak kompetitif dalam memberi mereka kemudahan dan menyelaraskan kadar kami dengan sasaran.
“Pendek kata, kami positif bahawa bukan sahaja kami tidak akan melihat kesan dalam pertumbuhan kami sendiri, malah pelanggan kini sudah mula bertindak balas dan menyediakan diri untuk ini. Kami akan bekerjasama dengan mereka untuk memudahkan peralihan ini,” katanya. – UTUSAN