PETALING JAYA: Bursa Malaysia kembali ke paras 1,600 selepas dua minggu semalam, disokong oleh belian secara menyeluruh berikutan sentimen global yang bertambah baik.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 1.08 peratus atau 17.36 mata kepada 1,615.32, berbanding 1,597.96 penutup Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.64 mata lebih tinggi kepada 1,599.60 dan terus mengekalkan trend menaik apabila meningkat 0.38 peratus atau 6.18 mata kepada 1,607.10 pada pukul 12.30 tengah hari.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi terbaik harian bursa seiring peningkatan pasaran-pasaran ekuiti antarabangsa di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jepun, Hong Kong antara 0.4 peratus hingga 1.23 peratus.
“Saya merasakan ia tidak mustahil akan kembali mencapai puncak tertinggi tahun ini iaitu 1,621.66 mata yang pernah dicapai pada 7 Jun lalu.
“Ini juga selari dengan beberapa faktor utama seperti pengumuman prestasi positif Tesla dan Amazon serta pengumuman pengerusi rizab persekutuan (Fed) AS yang mengulas kadar inflasi negaranya semakin baik.
“Berita-berita positif seperti ini memberikan suntikan keyakinan kepada para pengurus dana di seluruh dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Aimi Zulhazmi, nilai dolar AS yang terus mengukukuh memberikan peluang kepada para pengurus dana untuk membeli saham-saham di pasaran ekuiti seluruh dunia.
“Ini termasuk Malaysia dengan nilai bursa yang diunjurkan di bawah harga dan berpotensi naik dengan lebih tinggi terutamanya saham-saham syarikat tempatan yang berprestasi.
“Selain itu, khabar positif daripada pengumuman Google dan Microsoft untuk membina pusat data untuk kecerdasan buatan (AI) turut memberikan kesan sentimen positif kepada para pelabur luar yang menilai Malaysia.
“Tambahan lagi dengan pelaburan domestik yang mampan dan penyatuan polisi fiskal kerajaan yang mengembangkan serta penstabilan ringgit turut membantu mengurangkan risiko pelaburan dan meningkatkan penilaian bagi saham tempatan di bursa,” katanya.
Tambahnya, jangkaan awal iaitu pelaburan dalam pusat data tersebut dijangka mula menyumbang kepada ekonomi dalam tempoh enam hingga 12 bulan yang memberi petanda baik untuk prospek hala tuju ekonomi negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berpandangan sama bahawa faktor-faktor seperti pelaburan dalam negara yang semakin menaik dan penyatuan fiskal membantu pelabur lebih berasa yakin kepada pasaran saham Malaysia.
“Selepas 20 Jun lalu, banyak firma mengambil maklum pengambilan keuntungan yang berlebihan akan akhirnya merosakkan reputasi dan persepsi pelabur ke atas mereka.
‘Jadi, banyak firma mengambil langkah untuk memberi pencerahan dan pengunguman awam ke atas pengambilan keuntungan dari pihak atasan kepada orang awam dan pelabur.
“Langkah ini dilihat sebagai salah satu faktor untuk pelabur domestik kembali memberi kepercayaan untuk melabur semula, lantas menaikkan mata FBM KLCI secara agregat,” katanya. – UTUSAN