Bursa Malaysia ditutup rendah selepas catat paras tertinggi dalam tiga tahun - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup rendah selepas catat paras tertinggi dalam tiga tahun

FBM KLCI Bursa Malaysia akhiri minggu ini dengan prestasi yang baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup rendah semalam, namun masih mengekalkan prestasi yang baik dibantu oleh minat belian berterusan dan prestasi positif semalaman Wall Street.

Pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,625.96, turun 3.86 mata selepas dibuka tinggi kepada 1,631.73.

Kelmarin, indeks barometer ditutup pada 1,629.82 mata, tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia dijangka akan terus kukuh sehingga akhir tahun ini.

Katanya, ini memandangkan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka mengurangkan kadar faedah mereka seawal September nanti.

“Perkara ini bakal menaikkan mata wang ringgit disebabkan jurang perbezaan antara kadar dana Fed dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bakal dikurangkan.

“Maka, ia telah mewujudkan minat belian terhadap mata wang ringgit dan juga FBMKLCI,” katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan yang dilihat kekal konsisten mahu memperbaiki kedudukan fiskal melalui langkah seperti pengenalan cukai baharu, menaikkan kadar cukai perkhidmatan, e-invois dan rasionalisasi subsidi.

Tambahnya, pelaksanaan undang-undang seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menunjukkan kedudukan kewangan akan bertambah kukuh.

“Pengekalan tinjauan stabil oleh agensi penarafan kredit seperti S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) jelas menunjukkan risiko kredit bagi kerajaan Malaysia semakin berkurangan.

“Ini telah dapat menarik perhatian dalam kalangan pelabur asing untuk datang dan melabur di pasaran modal Malaysia. ⁠Antara sektor menjadi pilihan adalah teknologi, pembinaan, hartanah dan komoditi,” ujarnya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, Bursa Malaysia boleh berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk melepasi paras 1,632, paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, sebelum berlegar pada paras antara 1,660 hingga 1,676.

“Susulan optimis terhadap penurunan kadar faedah AS pada September depan, pelabur asing kembali sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia.

“Dengan peningkatan pelaburan langsung asing dan pembinaan infrastruktur ditambah dengan kerancakan dalam tema pelaburan, FBM KLCI dijangka melepasi paras rintangan menembusi jangka pendek pada 1,632, sebelum berada pada paras rintangan lebih tinggi antara 1,660 hingga 1,676,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN