PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus mengukuh didagangkan melepasi 1,630 mata semalam, didorong oleh faktor makro ekonomi global termasuk bayangan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan positif kepada pasaran ekuiti dunia.
Pada pukul 5 petang semalam, indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,633.54, naik 7.58 mata selepas dibuka tinggi pada 1,629.98, berbanding 1,625.96 ketika ditutup pada Selasa.
Kelmarin, indeks barometer ditutup 3.86 mata lebih rendah setelah mencecah paras tertinggi dalam tiga tahun pada 1,629.82 mata pada Isnin.
CGS-CIMB Research dalam nota penyelidikannya kekal positif terhadap FBM KLCI, walaupun terdapat penurunan kecil pada indeks penanda aras kelmarin, berikutan terdapat kira-kira dua kaunter rugi bagi setiap kaunter untung pada hari itu.
Katanya, penurunan pada Selasa tidak mungkin menjejaskan aliran menaik semasa walaupun ia berlanjutan untuk satu atau dua hari lagi.
“Sebarang kejutan berkemungkinan positif, dengan indeks dijangka meningkat menghampiri tahap psikologi 1,650 diikuti dengan sasaran Fibonacci seterusnya pada 1,652.
“Sasaran seterusnya ialah pada 1,664. Sokongan kekal pada 1,603 hingga 1,614 diikuti oleh 1,599 (Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 50 hari yang meningkat),” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bayangan Fed AS akan memulakan penuruanan kadar faedah seawal hujung September memberi sentimen positif kepada industri kewangan global.
Katanya, indeks dolar AS (DXY) yang mengukur kekuatan nilai mata wang AS itu turut mengalami penurunan 0.82 peratus kepada 104 mata dalam masa seminggu.
“Begitu juga Nota Perbendaharan AS tiga tahun dan lima tahun juga masing-masing turun menurun kepada 4.2 peratus dan 4.09 peratus, selari dengan aliran keluar pasaran modal dari pelaburan bon kepada pelaburan ekuiti.
“Kenaikan aliran positif modal ke pasaran ekuiti dapat dilihat dengan peningkatan keseluruhan pasaran ekuiti utama dunia sama ada di New York, Chicago, London, Tokyo, Shanghai dan sebagainya.
“Bagaimanapun, ada juga pasaran ekuiti yang tidak positif yang lebih disebabkan oleh faktor-faktor lokal mahupun aktiviti pengambilan untung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, Bursa Malaysia berada pada kedudukan yang baik dengan sentimen positif pasaran modal global, apatah lagi dengan berita-berita baik seperti pertambahan pelaburan asing oleh syarikat multinasional (MNC) seperti Goggle dan Amazon.
Tambahnya, syarikat dalam industri teknologi maklumat (IT) yang menjadi fokus dunia terkini iaitu pusat data dan kecerdasan buatan (AI) tersebut meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang menarik kepada pelabur.
“JP Morgan yang menaikkan penarafan Malaysia turut menyumbang ke arah yang sama. Kerjasama Johor dan Singapura juga dalam membina pusat data untuk MNC di selatan tanah air juga turut mengekalkan momentum berita-berita yang positif untuk iklim pelaburan dan ekonomi Malaysia keseluruhannya,” ujarnya. – UTUSAN