PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri hari dagangan terakhir minggu ini sedikit lemah berikutan aktiviti pengambilan untung dan tindakan peserta pasaran yang kekal berhati-hati terhadap turun naik yang tinggi dalam ekuiti global.
Pada pukul 5 petang semalam, penanda aras FBM KLCI susut 2.30 mata, atau 0.14 peratus, kepada 1,612.88 daripada 1,615.18 penutup Khamis.
Sebelum itu, Bursa Malaysia memulakan dagangan pada 1,613.99 dan bergerak dalam julat kecil antara 1,610.65 dan 1,616.83 sepanjang hari.
Suasana pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 569 berbanding 455, manakala 556 kaunter tidak berubah, 943 tidak diniagakan dan 52 lagi digantung.
Bagaimanapun, ringgit mengukuh pada 4.6530/6580 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.6600/6660 yang direkodkan Khamis lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran berlaku penurunan semalam berikutan pengumuman keluaran kasar dalam negara (KDNK) AS melebihi jangkaan.
“KDNK AS melebihi jangkaan para penganalisis ekonomi iaitu 2.8 peratus berbanding dua peratus sebelum ini.
“Jadi, ini menggambarkan ekonomi AS masih lagi dalam keadaan yang baik, maka tanggapan bahawa kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS akan diturunkan dalam jangka masa terdekat ni berkemungkinan perlu disemak semula.
“Hal ini kerana sebelum ini jangkaan pasaran memang menganggap kadar faedah akan diturunkan dan perkara itu yang menjadikan satu keterujaan kepada pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Afzanizam, pasaran saham global juga turut meningkat dengan banyak yang mendorong peserta pasaran untuk mengambil keuntungan.
“Perkara itu juga sesuatu yang kita tak dapat nak tolak kemungkinan tersebut kerana kenaikan harga saham dunia atau global meningkat banyak.
“Jadi, apabila dilihat semula prestasi keuangan, terutamanya syarikat berkait rapat dengan sektor teknologi baru-baru ni di AS, ia seolah-olah macam tidak memenuhi standard, seperti ada sedikit peningkatan tapi tidak seperti yang dijangkakan oleh para penganalisis ekuiti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, secara umumnya prestasi pasaran saham global masih di kadar yang baik.
“Hal ini kerana saya rasa jangkaan untuk penurunan kadar faktor mungkin berlaku dan itu satu perkara yang menjadi keutamaan bagi setiap pasaran.
“Indeks FBM KLCI masih mempunyai paras sokongan kerana masih bergerak di atas 1,600 mata,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi Bursa Malaysia selari dengan pasaran Ekuiti Asia yang lain iaitu dikategorikan sebagai bercampur-campur.
“Ini terjadi apabila para pengurus dana menimbang jangkaan pengukuhan pemotongan kadar faedah Fed AS serta kelemahan berterusan dari saham-saham teknologi.
“Sebagai contoh, bursa-bursa saham di Australia, Jepun dan Korea Selatan meningkat bersama dengan kontrak niaga hadapan untuk ekuiti AS pada Jumaat.
“Saham China di Hong Kong dan tanah besar juga turun naik, dan yen meningkat berbanding dolar menjelang mesyuarat Bank of Japan minggu depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pasaran saham Taiwan adalah prestasi paling teruk, jatuh sebanyak 4.3 peratus apabila dagangan disambung semula selepas gangguan yang disebabkan oleh Taufan Gaemi.
“Selain itu, bon kerajaan China pula jatuh ke paras terendah baharu apabila kenaikan bon dilanjutkan, menguji pembuat dasar China akan langkah seterusnya,” katanya. – UTUSAN