BNM kekalkan OPR 3.0 peratus pada MPC keempat tahun ini - Utusan Malaysia

BNM kekalkan OPR 3.0 peratus pada MPC keempat tahun ini

OPR dijangka kekal 3.0 peratus walaupun Fed Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah di negara itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kali keempat bagi tahun ini, semalam.

Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa mengenai inflasi dan prospek pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut kenyataan.

Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei tahun lalu.

BNM berkata, penunjuk terkini ekonomi Malaysia mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh pada suku kedua 2024, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.

Katanya, eksport dijangka disokong selanjutnya oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan berserta langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan,” ujarnya.

Menurutnya, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.

“Perdagangan global terus kukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari mereka.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global,” jelasnya.

Mesyuarat MPC seterusnya dijadualkan pada 4 dan 5 September 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya