Bank Muamalat tawar perkhidmatan pengurusan wakalah zakat - Utusan Malaysia

Bank Muamalat tawar perkhidmatan pengurusan wakalah zakat

Pengasas KMF Network, Prof. Dr. Mohd Khairi A. Majid menyerahkan cek cura wakalah zakat bernilai RM150,000 kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin sambil disaksikan Pengarah Rangkuman Kewangan, Bank Negara Malaysia, Nor Rafidz Nadzri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menawarkan perkhidmatan pengurusan wakalah zakat kepada individu atau syarikat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, inisiatif ini merupakan perkongsian pintar di antara Bank Muamalat dan pelanggan yang membayar zakat dalam usaha berterusan memperkasakan pengagihan zakat kepada asnaf.

Katanya, inisiatif ini juga memberi kemudahan kepada para pembayar zakat terutama pelanggan Bank Muamalat dalam menunaikan tuntutan zakat mereka.

“Sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat sentiasa komited dalam menyokong perkembangan institusi zakat yang membolehkan dana zakat dapat diagihkan secara lebih meluas serta menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan kehidupan golongan kurang berkemampuan terus terbela.

“Sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat, Bank Muamalat mengalu-alukan individu dan entiti perniagaan untuk mewakilkan Bank Muamalat bagi menguruskan wakalah zakat mereka.

“Bank Muamalat akan menguruskan pengagihan zakat ini secara telus dan tiada caj dikenakan.” katanya dalam kenyataan.

Dua syarikat pertama yang menggunakan perkhidmatan tersebut adalah KMF Network dan Muamalat Invest Sdn. Bhd. iaitu masing-masing menyerahkan sejumlah RM150,000 dan RM24,000 kepada Bank Muamalat untuk diagihkan kepada penerima yang layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

Bank Muamalat akan mengagihkan wakalah zakat sebanyak RM150,000 daripada KMF Network kepada usahawan mikro dan asnaf menerusi pembiayaan iTEKAD Bank Muamalat bagi membantu mereka menjana pendapatan yang mampan dan memperkukuh pengurusan kewangan.

Sementara itu, wakalah zakat berjumlah RM24,000 daripada Muamalat Invest Sendirian Berhad akan diagihkan kepada Yayasan UNITI bagi tujuan pembelian kaki palsu yang akan memanfaatkan golongan yang memerlukan.

Majlis penyerahan wakalah zakat kepada Bank Muamalat telah diadakan di Karnival Celik Kewangan Pahang, Sabtu lalu yang turut dihadiri oleh Pengasas KMF Network, Prof. Dr. Mohd Khairi A. Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Muamalat Invest, Khadijah Sairah Ibrahim.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan wakalah zakat individu atau perniagaan boleh melayari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat.

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 0326005500 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN