PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperluaskan inisiatif kewangan lebih RM100,000 inklusif demi menjana impak sosial menerusi pemasangan panel solar fotovoltan (PV) pada 21 buah bot nelayan B40 di Pengkalan Sungai Mersing, Johor.
Menurut kenyataan, projek Sistem Tenaga Elektrik Solar Terasing yang mengubah bot-bot nelayan terlibat kepada Bot Eko-PV Pintar (Smart Eco-PV Boat) dijayakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Projek bernilai lebih RM100,000 ini dibiayai menerusi sumbangan awam kepada Sadaqa House yang merupakan pemacu kewangan sosial Bank Islam yang diiktiraf di peringkat global.
“Usaha kelestarian ini dijangka mampu mempertingkatkan keupayaan aktiviti perikanan, di samping memberi penjimatan kepada nelayan dan memelihara ekosistem alam sekitar, khususnya lautan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, projek itu memperlihatkan komitmen Bank Islam dalam mendukung matlamat Malaysia mencapai 40 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035.
“Bot nelayan terlibat akan dilengkapi ciri-ciri yang mampan seperti peralatan elektrik cekap tenaga serta memanfaatkan sumber tenaga yang diperoleh menerusi pemasangan panel solar PV pada bahagian atas bot.
“Peralatan-peralatan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan bot tetapi juga mengurangkan kemungkinan pencemaran air dan bunyi serta pembebasan karbon.
“Di samping itu, ia memberikan penjimatan diesel sebanyak anggaran RM150 sebulan kepada nelayan-nelayan tersebut, sekali gus dapat membantu meningkatkan aliran tunai bagi kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Jelas beliau, ini adalah pertama kali dalam sejarah kerjasama Bank Islam bersama UTM dan pemasangan panel solar kali ini turut dijayakan oleh 13 institusi kemahiran dan pengajian tinggi di seluruh negara yang membabitkan 180 pelajar dan warga kerja.
“Institusi-institusi pengajian terlibat adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, Politeknik Port Dickson, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Mersing dan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail.
“Selain itu, Kolej Komuniti Jempol, Kolej Komuniti Kuala Langat, Kolej Komuniti Segamat 2, Kolej Komuniti Beaufort, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat juga terlibat. – UTUSAN