Bangunan lama perlu pengubahsuaian, pemodenan - Utusan Malaysia

Bangunan lama perlu pengubahsuaian, pemodenan

BANGUNAN lama perlu diubah suai dan diberi pemodenan selain perlu mengikuti peraturan keselamatan yang ditetapkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar industri berpendapat bangunan lama di negara ini perlu diberikan pengubahsuaian dan pemodenan bagi membuka peluang pertumbuhan kepada hartanah kediaman dan komersial yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Ini berikutan dua pertiga daripada bangunan di Malaysia akan kekal hingga 2050, dan terdapat keperluan yang mendesak untuk melaksanakan pengubahsuaian dan pemodenan.

Secara purata, pangsapuri atau pejabat bertingkat tinggi dianggarkan mempunyai jangka hayat sehingga 50 ke 60 tahun.

Namun, bangunan lama lazimnya tidak lagi mematuhi kod bangunan semasa, kecekapan tenaga, dan peraturan keselamatan.

Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck berkata, apabila usia bangunan semakin meningkat, keadaannya pasti mengalami kemerosotan, yang ditambah buruk lagi dengan pengabaian dan faktor persekitaran.
“Penyelenggaraan yang tidak mencukupi mengancam kestabilan bangunan dan menjatuhkan nilai pasarannya.

“Kami percaya bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat membuka peluang pertumbuhan yang akan bermanfaat kepada hartanah kediaman dan komersial untuk mewujudkan senario yang saling mendatangkan manfaat bagi semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Sze Tuck, penyelenggaraan bangunan adalah amat penting kerana kerosakan berterusan akan memburukkan keadaan.

“Contohnya, sebanyak 80 peratus kecacatan bangunan adalah disebabkan isu pengalisan air, yang mengakibatkan masalah seperti kebocoran air, kulat, dan kerosakan struktur, yang boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni.

“Sekiranya dibiarkan, kerosakan yang dialami tidak boleh diperbaiki. Kebanyakan kebocoran air bermula dari bumbung, dan hakikatnya adalah banyak bangunan di Malaysia tidak mempunyai pengalisan air yang baik kerana kesilapan dalam sistem pengalisan air, ketebalan dan pengetahuan dalam penggunaan serta kerja pembinaan yang kurang mahir.

“Oleh itu, semasa pengubahsuaian dibuat, kami sering membuat pemeriksaan untuk memastikan penyelesaian pengalisan air yang berkesan telah dilaksanakan,” katanya.

Turut berpandangan sama, bekas presiden PAM, Sarly Adre Sarkum berkata, walaupun terdapat undang-undang kecil berkenaan pengawalaturan, cabaran tertentu masih dihadapi dalam pelaksanaan standard semasa pada bangunan lama.

“Siasatan kami terhadap beberapa struktur lama menunjukkan kebocoran air yang teruk dan sistem penyaman udara yang terabai, yang menyebabkan pembaziran tenaga dan kerugian dari segi kewangan yang berlanjutan yang mungkin telah berlaku (bertahun lamanya),” katanya.

Sebagai panel, beliau berkata, perkara tersebut turut melahirkan rasa kecewa berkenaan isu pengalisan air yang merupakan masalah utama di kalangan penduduk Malaysia.

“Menurut undang-undang, pemaju dikehendaki menawarkan tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun, tetapi masalah pengalisan air sering berlaku dalam tahun ketiga kerana mutu kerja binaan yang rendah dan kualiti produk yang digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, isu terbesar pengubahsuaian adalah kos, terutamanya bangunan persendirian, di mana prestasi kewangan perlu diberi pertimbangan.

“Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu meneroka sumber pendapatan alternatif selain daripada hanya bergantung kepada fi penyelenggaraan dan insentif kerajaan semata-mata.

“Inisiatif seperti menyewakan taman bumbungan, mewujudkan ruang kerja bersama dalam bangunan, atau menyewakan ruang iklan pada hartanah mempunyai potensi untuk menghasilkan dana yang stabil,” katanya

Beliau turut menyatakan bahawa pemaju dan pemilik bangunan harus mempertimbangkan ciri-ciri penjimatan kos, seperti waranti dan bahan binaan berkualiti yang menawarkan jangka hayat selama 10 tahun berbanding lima tahun.

Bagi Bekas presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), Adzman Shah Mohd. Ariffin, hasil kerja dan bahan yang berkualiti adalah amat penting dalam peringkat pra-pembangunan untuk mengurangkan pembaziran sumber dan pembaikan yang sentiasa perlu dibuat, yang akan membebankan penghuni strata.

“Kebanyakan pemaju cenderung untuk mengurangkan penggunaan sistem antiperoi, yang membantu mencegah pembentukan deposit putih berkapur pada bangunan yang selalunya muncul selepas dua hingga tiga bulan selepas pembinaan.

“Ini menyebabkan bangunan tersebut nampak ‘tua’ sebelum waktunya, yang juga akan membebankan pemilik bangunan kerana bermasalah untuk menjual atau menyewakan bangunan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya