Amro turunkan unjuran KDNK Malaysia kepada 4.7% untuk 2024 - Utusan Malaysia

Amro turunkan unjuran KDNK Malaysia kepada 4.7% untuk 2024

PASARAN saham Malaysa adalah yang terbaik, mencatat pertumbuhan sembilan peratus yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Asean+3 Macroeconomic Research Office (Amro) menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2024 kepada 4.7 peratus daripada anggaran sebelumnya 5.0 peratus, mengambil kira pertumbuhan eksport lebih perlahan daripada jangkaan.

Ketua Ekonomi Amro, Khor Hoe Ee dalam taklimat media berkata, bagaimanapun, unjuran pemantauan bagi pertumbuhan KDNK 2025 meningkat kepada 4.9 peratus berikutan pemulihan eksport yang kuat.

“Sebab utama adalah sektor eksport agak perlahan untuk pulih, tetapi ia masih merupakan pertumbuhan yang sangat kuat.

“Selain itu, permintaan domestik berdaya tahan dan pelaburan langsung asing (FDI) yang dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan akan dilaksanakan pada tahun ini dan 2025 membantu menyokong ekonomi negara.

“Sektor semikonduktor dan elektronik Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan, tetapi lebih perlahan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ringgit telah menunjukkan prestasi yang baik sejak Februari kerana ekonomi yang berjalan dengan baik dan langkah-langkah seperti menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membawa pulang pendapatan asing.

“Kami fikir ringgit akan lebih kuat daripada tahun lepas dan Amro turut menyokong pelaksanaan rasionalisasi subsidi di Malaysia.

“Ini akan memberi ruang fiskal yang boleh digunakan untuk perbelanjaan peningkatan pertumbuhan yang lain.

“Jangkaannya, Malaysia akan terus menghapuskan subsidi RON95. Walaupun ia agak ‘menyakitkan’ tetapi akan diterima baik oleh komuniti pelaburan dan turut diperlukan untuk membantu Malaysia menumpukan lebih banyak pada bidang perbelanjaan,” katanya.

Menurut laporan dikeluarkannya, Amro menyatakan bahawa risiko utama terhadap prospek Malaysia dalam jangka masa terdekat sebahagian besarnya berpunca daripada faktor luaran.

“Pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam ekonomi utama dunia boleh mengganggu peningkatan awal dalam kitaran teknologi global, terutama untuk pekerjaan dan upah.

“Ini termasuk ketidakpastian sama ada Amerika Syarikat (AS) boleh mencapai peningkatan dalam ekonomi selain pemulihan selepas pandemik yang kurang memberangsangkan di China.

“Pilihan raya presiden AS tahun ini juga boleh memberi impak luas kepada perdagangan dan teknologi global,” ujarnya.

Selain itu, Amro berkata, gangguan berkaitan bekalan seperti yang timbul daripada konflik geopolitik boleh mengekalkan inflasi pada tahap tinggi dan melemahkan permintaan domestik.

“Kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama di AS juga boleh menyebabkan tekanan penurunan nilai mata wang yang berterusan dan keadaan kewangan yang ketat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN