AME Elite, AME REIT ambil alih empat hartanah industri

AME Elite, AME REIT ambil alih empat hartanah industri di Iskandar Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AME Elite Consortium Bhd. dan I REIT Managers Sdn. Bhd., syarikat pengurusan AME Real Estate Investment Trust (AME REIT), secara bersama mengumumkan cadangan pengambilalihan empat hartanah industri pajakan sepenuhnya di Iskandar Malaysia bernilai RM119.5 juta.

Menurut kenyataannya, AME REIT akan memperoleh hartanah itu daripada AME Elite, iaitu syarikat yang membentuk amanah pelaburan hartanah secara pertimbangan tunai.

Dua daripada empat hartanah itu terletak di i-TechValley dan dua lagi di i-Park@Senai Airport City dan mempunyai jumlah kawasan boleh sewa yang dipersetujui sebanyak 391,872 kaki persegi.

Jelasnnya, hartanah tersebut terdiri daripada kilang berkembar satu tingkat dengan pejabat mezanin dan bangunan tambahan, yang kini dipajakkan kepada penyewa yang bereputasi.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AME Elite Consortium, Dylan Tan Teck Eng berkata, ekonomi Malaysia semakin baik dan menyaksikan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor perindustrian, khususnya di Iskandar Malaysia.

Katanya, Iskandar Malaysia adalah lokasi taman perindustriannya berada dengan strategik, memberikan kelebihan dan peluang pertumbuhan yang ketara.

“Perkongsian strategik kami dengan AME REIT, yang termasuk hak penolakan pertama untuk hartanah milik AME Elite selama lima tahun selepas penyenaraian AME REIT pada 2022, membolehkan kami memanfaatkan potensi pasaran yang menggalakkan yang dicipta oleh FDI yang lebih tinggi.

“Tambahan pula, pelupusan hartanah kepada AME REIT membolehkan kami mengoptimumkan peruntukan modal kami ke arah pengembangan selanjutnya taman perindustrian kami.

“Sementara itu, penyewa kami mendapat manfaat daripada kepakaran daripada pasukan REIT industri yang berdedikasi dalam mengurus keperluan jangka panjang mereka,” ujarnya.

Tambahnya, hasil daripada pelupusan oleh AME Elite sebahagiannya digunakan untuk membiayai pembangunan berterusan projek i-TechValley dalam Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC), iaitu taman perindustrian seluas 27.9 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira  RM1.5 bilion.

“Baki selebihnya akan diperuntukkan untuk pembangunan dan projek pelaburan hartanah industri di masa depan, termasuk pemerolehan tanah dan usaha sama,” ujarnya.

AME REIT berkata, transaksi terbabit dijangka menjana keuntungan proforma daripada pelupusan kira-kira RM22.9 juta untuk AME Elite (selepas cukai dan kepentingan minoriti).

Jelasnya, ini menyebabkan peningkatan ilustratif sebanyak 24.1 peratus dalam pendapatan sesaham kepada 18.08 sen daripada 14.57 sen untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024.

Urus niaga ini distruktur sebagai perjanjian jual beli antara RHB Trustees Bhd, pemegang amanah AME REIT dan anak syarikat AME Elite dengan pertimbangan pembelian diselesaikan sepenuhnya secara tunai dan akan diselesaikan secara berperingkat antara suku pertama hingga suku ketiga 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN