Ahli kesatuan pekerja perlu pentingkan literasi kewangan - Utusan Malaysia

Ahli kesatuan pekerja perlu pentingkan literasi kewangan

DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
DALAM era ekonomi yang semakin kompleks ini, literasi kewangan dan kebertanggungjawaban kewangan menjadi semakin kritikal bagi semua individu, terutamanya ahli kesatuan pekerja. Ini disebabkan ia elemen penting dalam membina kestabilan kewangan. Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia dengan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), DATUK MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL mengenai kepentingan literasi kewangan dan penarafan kredit dalam kalangan ahli kesatuan pekerja.

UTUSAN: Mengapa literasi kewa­ngan dan kebertanggungjawaban kewangan adalah faktor penting terutamanya bagi ahli Kesatuan Pekerja?
SHAFIE: Literasi kewangan dan kebertanggungjawaban kewangan adalah penting bagi semua individu, terutamanya bagi ahli kesatuan. Hal ini penting bagi ahli kesatuan kerana selama ini mereka tidak sedar akan kepentingan tanggungjawab kewangan. Kebanyakan ahli kesatuan membuat perancangan kewangan yang sangat ringkas, hanya menerima gaji dan menggunakan wang tersebut tanpa memikirkan kepentingan masalah kewangan.

Tanggungjawab kewangan bermakna menjalani kehidupan dalam tahap kemampuan sendiri, tidak kira pada tahap mana terletaknya kemampuan individu. Ini akan membolehkan individu berkenaan mengoptimumkan pendapatan dan membina asas kewangan yang selamat. Pendekatan ini sebenarnya tidak sukar dan seharusnya bermula dengan pengurusan bajet sendiri. Apabila bajet diurus dengan bijak, hutang yang tidak perlu sepatutnya dapat dielak, hutang yang sedia ada dapat dilunaskan dengan baik dan simpanan dapat diketepikan untuk untuk kecemasan dan juga perancangan masa hadapan.

Pada pendapat Datuk, apakah peranan penarafan kredit yang baik dalam kehidupan ahli Kesatuan yang berpendapatan sederhana dan rendah?
Peranan ini sangat meluas kerana kita melihat pendekatan yang lebih sistematik tidak berlaku dalam dua hingga tiga dekad yang lalu, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Mereka hanya membelanjakan tanpa perancangan yang tepat. Oleh itu, penarafan kredit yang baik memerlukan perancangan yang lebih sistematik.

Sebelum kita mula bekerja, kita haruslah terlebih dahulu mendapat pendedahan mengenainya. Penarafan kredit yang baik sangat berharga bagi ahli kesatuan, memandangkan ia dapat membuka pintu kepada peluang kewangan penting dalam kehidupan mereka di samping menjadi tanda ukuran kestabilan kewangan individu.

Sejarah kredit yang positif membolehkan ahli mendapat akses kepada kredit yang bersesuaian bagi tujuan pembelian aset seperti rumah dan kereta, malah bagi tujuan pendidikan, tanpa dibebani kadar faedah yang tinggi.

Selain itu, penarafan kredit yang baik boleh memberi impak terhadap prospek pekerjaan, permohonan penyewaan, dan premium insuran. Kesemua ini mencerminkan implikasinya yang meluas terhadap dalam aspek kesejahteraan kewangan dan mobiliti sosioekonomi individu.

Boleh Datuk huraikan apakah kaitan Agensi Penarafan Kredit (APK) dan laporan kredit dengan kesatuan dan ahlinya?

Sebenarnya peranan APK dan laporan kredit amat pen­ting dalam memberi penekanan amalan kewangan yang bertanggungjawab dengan memberikan individu gambaran menyeluruh tentang sejarah kredit dan pendekatan serta amalan kewangan individu serta syarikat.

Sebagai contoh, dalam pengalaman kami, laporan dari CTOS sangat berguna bagi beberapa ahli dan Kesatuan untuk mengesahkan kedudukan kewangan individu atau organisasi yang dipertimbangkan untuk kolaborasi. Laporan kredit seperti ini telah banyak membantu kami membuat keputusan yang berinformasi, sama ada untuk meneruskan urusniaga komersial tertentu.

Dengan mengumpulkan data dari pelbagai pemiutang dan institusi kewangan, APK dapat menyediakan laporan kredit yang mencerminkan corak pinjaman dan pembayaran individu. Laporan ini berperanan sebagai alat penting bagi individu untuk menilai kesihatan kewangan mereka, mengenal pasti aspek kewangan yang perlu diperbaiki, dan membuat keputusan yang berinformasi tentang pinjaman dan perbelanjaan. Pendedahan sebeginilah yang kami rasakan amat penting untuk ahli-ahli kami.

Apakah peranan Kesatuan bagi meningkatkan literasi kewangan dan mencapai laporan kredit yang lebih baik bagi ahlinya?
Kesatuan seharusnya memainkan peranan penting dalam memberi penekanan kepada pentingnya literasi kewangan dan memperjuangkan kesejahteraan kewangan ahli-ahli kami. Melalui bengkel pendidikan, sumber-sumber, dan perkongsian dengan institusi kewangan, Kesatuan boleh memberi pendedahan kepada pengetahuan dan maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, menguruskan hutang dengan bertanggungjawab, dan meningkatkan profil kredit mereka.

Selain itu, Kesatuan juga boleh mengadakan rundingan dengan majikan untuk mendapatkan manfaat perkhidmatan kaunseling kewangan, program bantuan pekerja, dan upah yang adil yang membolehkan ahli mencapai kestabilan kewangan yang lebih baik.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ahli Kesatuan untuk meningkatkan literasi kewangan bagi mendapatkan penarafan kredit yang lebih baik untuk ahli-ahli?
Sebenarnya, media juga perlu memainkan peranan. Para menteri dan agensi kerajaan juga perlu turut serta. Majikan terutamanya boleh mengambil langkah mendidik dan melabur dalam pekerja mengenai perkara ini.
Yang pentingnya, setiap individu hendaklah mengambil pendekatan untuk ‘hidup mengikut kemampuan’ – individu harus bertanggungjawab dalam amalan kewangan masing-masing. Perbelanjaan yang tidak terkawal, pembayaran lewat secara berulang, dan mengabaikan hutang sudah pasti membawa kepada laporan kredit yang negatif. Dalam konteks ini, kita tidak boleh menyalahkan laporan kredit sekiranya kita sendiri tidak bertanggungjawab dalam amalan kewangan.

Dalam hal ini, ahli boleh mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan literasi kewangan ke arah mendapatkan penarafan kredit yang lebih baik. Ini dapat dicapai sekiranya mereka menimba pengalaman dan pengetahuan tentang pelbagai aspek kewangan, menyediakan bajet sendiri dan memastikan bajet ini dipatuhi, membayar bil tepat pada masanya, mengurangkan hutang, dan jika boleh, memantau sendiri laporan kredit mereka secara berkala.

Malah, kami menggalakkan ahli untuk mendapat panduan dari penasihat kewangan yang bereputasi, menghadiri bengkel literasi kewangan, dan menggunakan sumber yang disediakan oleh Kesatuan masing-masing untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran kewangan. Kesemua ini dapat mengukuhkan kedudukan kewangan di samping membolehkan mereka berdikari dalam aspek kewangan.

Pada pendapat Datuk, bagaimana APK dapat memainkan peranan dalam meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan ahli Kesatuan?
Kita perlu mempunyai rancangan tindakan. Sebagai contoh, majikan boleh mengadakan pelbagai aktiviti celik kewangan dan kebertanggungjawaban kewangan. Mengapa kita tidak menggunakan peluang ini untuk menyedarkan kakitangan? Falsafah menyimpan untuk hari tua mudah dilupakan.

Dalam konteks ini, APK juga boleh memainkan peranan termasuk aktiviti yang dapat membantu meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan ahli Kesatuan, dengan menyediakan sumber pendidikan dan informasi tentang fungsi penarafan kredit, faktor-faktor yang mempengaruhi skor kredit, dan pentingnya pengurusan dan amalan kewangan yang bertanggungjawab.

Contohnya, dengan menawarkan bengkel, sumber dan maklumat dalam talian, dan perkhidmatan kaunseling kredit, APK boleh memberi kuasa kepada ahli Kesatuan untuk membuat keputusan berinformasi tentang kredit, hutang, dan kesejahteraan kewangan secara keseluruhan.

Pada pendapat Datuk, bagaimanakah APK dapat meningkatkan kredibiliti serta keyakinan awam terhadap laporan kredit mereka?
Yang paling utama, APK harus memastikan ketepatan, ketelusan, dan aksesibiliti dalam amalan pelaporan mereka,termasuk mengemaskini maklumat kredit secara berkala, menyiasat dan memperbetulkan kesilapan dengan segera, dan menyediakan penjelasan yang jelas tentang metodologi penilaian kredit.

Selain itu, APK juga boleh mempertingkatkan interaksi dengan pemimpin Kesatuan dan ahli untuk mendapatkan maklumbalas, menangani kebimbangan dan persoalan mereka, dan membina kepercayaan melalui komunikasi secara terbuka serta mempraktikkan akauntabiliti.

Bagaimana Datuk bayangkan peranan APK boleh diperkembangkan untuk menyokong kesejahteraan kewangan ahli Kesatuan?
Di antara aspek yang saya dapat bayangkan adalah potensi APK bekerjasama dengan Kesatuan untuk menawarkan bimbingan kewangan yang dipersonalisasi, perkhidmatan pemantauan kredit yang inovatif, dan memperkenalkan solusi pengukuhan kredit yang dipersesuaikan untuk ahli Kesatuan.

Dengan memanfaatkan teknologi dan analitik data, APK boleh memberikan pendapat, maklumat dan cadangan yang dapat dilaksanakan secara ‘real time’ untuk membantu ahli Kesatuan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak, mencapai matlamat kewangan mereka ke arah membina masa depan yang lebih cerah untuk diri mereka dan keluarga. Antara lain, APK juga boleh bekerjasama dengan Kesatuan untuk menekankan pentingnya literasi kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya