3,000 kilang pintar 5G dijangka sumbang RM38.6b kepada KDNK - Utusan Malaysia

3,000 kilang pintar 5G dijangka sumbang RM38.6b kepada KDNK

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid (kanan) menyerahkan pertukaran MoU sambil disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Program dan inisiatif bagi penggunaan rangkaian 5G sektor vertikal dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) hari ini. - ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sasaran kewujudan 3,000 kilang pintar dipacu teknologi 5G dijangka menyumbang hampir RM40 bilion (RM36.8 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, melalui Misi Tech Up for a Digitally Vibrant Nation yang digariskan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menekankan kepentingan mengadaptasi teknologi digital untuk mewujudkan sekitar 3,000 kilang pintar di negara ini menjelang 2030.

“Usaha ini akan mencipta lebih dari 150,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang seperti analisis data, AI, dan IoT industri,” katanya ketika berucap di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Program dan inisiatif bagi penggunaan rangkaian 5G sektor vertikal dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini semalam.

Jelas Tengku Zafrul, kilang pintar itu mendorong inovasi teknologi dalam sektor pembuatan yang bakal menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

Katanya, transformasi digital bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan ini perlu berteraskan kemajuan dalam bidang terkini.

“Ini termasuk autonomi robotik, data raya, realiti terimbuh, pengkomputeran awan, internet kebendaan (IoT), percetakan 3D, keselamatan siber, simulasi dan integrasi sistem digital.

“Kebolehan inilah yang bakal merangsang pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang baharu dalam pelbagai sektor serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang berorientasikan digital, serta akan menyumbang kepada sebuah ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya tahan.

“Oleh itu, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertekad untuk memperkukuh daya saing syarikat tempatan, terutamanya bagi industri perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia, melalui penggunaan teknologi 5G,” katanya.

Kata beliau, bagi mencapai matlamat keterangkuman Ekonomi Madani dan NIMP, usaha ini juga akan mengutamakan PKS dalam industri di Malaysia.

“Penggunaan 5G untuk meningkatkan keselarasan operasi, mengurangkan kos, dan meningkatkan kualiti produk akan membuka peluang yang lebih luas untuk PKS bersaing di pasaran global.

“Justeru, MoU ini boleh menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan transformasi digital bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia.Dengan 5G sebagai pembolehcara utama bagi industri perkilangan mengadaptasi pelbagai teknologi pembuatan, kita mampu mencapai keberhasilan keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya