Trafik penumpang MAHB cecah 11.2 juta pada Mei - Utusan Malaysia

Trafik penumpang MAHB cecah 11.2 juta pada Mei

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trafik Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) meningkat 1.8 peratus kepada 11.2 juta penumpang pada Mei berbanding 11 juta penumpang yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, jumlah tersebut merupakan pencapaian baharu bagi kumpulan dan melepasi paras puncak yang dicapai pada Februari 2024.

“Selain itu, pencapaian ini menandakan bulan kelima berturut-turut dengan lebih 10 juta jumlah penumpang,” kata kenyataan itu.

MAHB merekodkan 7.7 juta pergerakan penumpang merentasi rangkaian lapangan terbang tempatannya, menunjukkan prestasi yang stabil dengan peningkatan 1.0 peratus daripada 7.6 juta penumpang bulan sebelumnya.

Lapangan terbang Malaysia menerima empat juta penumpang antarabangsa pada Mei 2024, menandakan peningkatan 2.0 peratus daripada 3.9 juta penumpang pada bulan sebelumnya.

Menurut MAHB, trafik domestik di lapangan terbang tempatan mengekalkan prestasi mantapnya dengan 3.7 juta penumpang direkodkan bulan lepas.

“Konsistensi dalam perjalanan domestik ini menyerlahkan permintaan kukuh untuk perjalanan udara dalam negara, disokong oleh perhubungan yang dipertingkatkan dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan lapangan terbang.

“Pada Mei 2024, secara keseluruhan, gabungan pertumbuhan dalam trafik antarabangsa dan domestik menggariskan daya tahan dan daya tarikan sektor penerbangan Malaysia,” ujarnya.

MAHB menegaskan, usaha intensif kumpulan untuk mengembangkan ketersambungan rangkaian negara membolehkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini memberi perkhidmatan kepada 70 syarikat penerbangan, melepasi tahap pra-pandemik dengan 69 syarikat penerbangan.

Menjelang akhir tahun, tiga lagi syarikat penerbangan iaitu British Airways, Thai Vietjet dan 9 Air dijangka mula beroperasi.

“Kumpulan sedang giat menarik 15 lagi syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang, bertujuan untuk mengangkat KLIA sebagai hab antarabangsa pilihan.

“Untuk meningkatkan perjalanan udara, kumpulan telah melabur dalam inisiatif seperti Program Airline X-celeration, yang merangkumi pengecualian yuran pendaratan, rebat sewa pejabat lapangan terbang dan sokongan pemasaran.

“Kira-kira RM3 juta telah diperuntukkan untuk sokongan pemasaran di laluan Malaysia-China sahaja setakat ini, menggariskan komitmen kumpulan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya