JENAMA Toyota sinonim dengan kereta atau kenderaan yang tahan lasak, jimat dari segi penjagaan dan penggunaan bahan api, berada di pasaran dengan harga yang mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.
Namun agak berbeza untuk Toyota GR Corolla. Namanya sendiri sudah membayangkan ia sebuah model khas. GR yang bermaksud Gazoo Racing, jenama yang kini diperkenalkan oleh Toyota yang melambangkan kenderaan tersebut, dilengkapi dengan aksesori berprestasi tinggi.
Walau terdapat model-model yang ditampal logo GR pada bahagian luaran kenderaan Toyota, hanya mendapat sedikit pengubahsuaian seperti peningkatan prestasi enjin yang minimum, penggunaan sistem suspensi yang lebih baik sedikit daripada jenis standard spesifikasi kilang, serta penjenamaan logo GR pada bahagian kosmetik luaran atau pada bahagian dalam kabin kenderaan.
Akan tetapi, terdapat beberapa model eksklusif yang mendapat pengubahsuaian yang agak ekstrim, sama ada dari segi kosmetik mahupun dari segi teknikal. Sebagai contoh, Toyota GR Corolla ini.
REKA BENTUK FIZIKAL
Anda tidak salah jika mengatakan ini adalah model Toyota Yaris yang ditambah aksesori sport. Rekaan keseluruhannya yang membentuk sebuah hatchback, saling tak tumpah seperti Yaris.
Untuk berlaku lebih adil, kita harus membandingkan Toyota GR Corolla ini dengan Toyota GR Yaris. Perbezaan ketara di antaranya adalah GR Corolla di datangkan dengan lima pintu, sementara GR Yaris hanya tiga pintu.
Setiap bahagian GR Corolla ini direka dengan fungsi yang tersendiri sama ada untuk mengalirkan aruhan udara dari dalam enjin ke luar (untuk penambahbaikan sistem penyejukan enjin), pengaliran aruhan udara dari bahagian sisi kereta, atau faktor pengurangan berat keseluruhan kenderaan.
Gril hadapannya yang begitu besar mengalirkan udara sebanyaknya pada radiator utama serta bahagian enjin. Dibantu dengan corong-corong udara untuk segera mengalirkan aruhan udara panas tersebut keluar pantas, sama ada dari bahagian sisi di belakang roda hadapan atau dari bahagian atas bonet atau penutup enjin.
Jika anda kagum rekaan sisinya terutama yang membentuk gerbang roda, selain ia tampak lebih ‘gemuk’ dan menambah nilai estika fizikalnya, ia turut memberikan keupayaan perlindungan daripada percikan air atau lecak yang melampau ke atasnya.
Kemudian beralih ke bahagian belakang badan GR Corolla ini. Bahagian yang saya rasakan paling menarik berbanding bahagian-bahagiannya yang lain. Pertama, kelebaran ‘wheel arch’ tersebut jelas mengeksploitasikan rekaan belakangnya yang tampak lebih besar dan lebar.
Setelah itu, pandangan yang turut menarik perhatian ramai pemandu lain yang berada di belakangnya ialah, keberadaan tiga corong ekzosnya yang bukan sekadar hiasan.
Beralih ke bahagian dalam kabin, saya amat tertarik dengan penggunaan bahan pembalut kerusi-kerusinya. Penyatuan antara fabrik dan kulit adalah satu pendekatan yang jauh lebih menarik berbanding penggunaan kulit sepenuhnya.
Bahagian fabrik seperti ‘suede’ di bahagian tengah dan balutan kulit pula digunakan untuk bahagian penyandar kepala dan bahagian luaran kerusijenis ‘semi-bucket’ ini. Papan pemuka, yang tidak terlalu berlebihan dari segi seni rekaan, menggunakan hanya satu tona warna sahaja.
Sistem multimedianya pula lengkap dengan Apple Carplay dan Android Auto. Namun, oleh kerana model ini dipasarkan 2023, ia seakan sedikit ketinggalan dari segi penampilan skrin TFTnya yang bersaiz sembilan inci. Mungkin kerana saya terlalu kerap melihat kereta-kereta dari China yang dilengkapi dengan skrin TFT yang begitu canggih dan berwarna-warni.
PEMANDUAN
Toyota GR Corolla ini bukan untuk anda bawa keluarga bersiar-siar. Pertamanya, suspensi sports yang dibekalkan ternyata keras, dan akan melantun-lantun ketika melalui laluan lebuh raya yang tidak rata.
Seolah-olah dihasilkan untuk pemanduan dalam litar, GR Corolla ini seperti ‘tertanam’ ketika pengambilan selekoh dengan laju. Tiada langsung perasaaan ‘membuai’ atau keinginannya untuk melayang ke luar selekoh yang diambil.
Pecutannya. Terdapat tiga mod yang boleh anda pilih dengan hanya memetik tombol suis, dan saya dapati, terdapat perbezaan ketika gear pertama, iaitu daripada kedudukan statik. Pecutan dari gear satu pada mod ekonomi ternyata agak berat dan jika anda silap melaras klac kaki, enjin mungkin akan tersenggut dan mati.
Prestasi pecutan dalam mod biasa, sudah tentu lebih mengujakan dan dalam mod sport pula, kadang kala sedikit ‘menyeramkan. Kelebihan prestasi pecutan dan tujahan enjin ini dirasakan sehingga ke gear keempat, sementara di gear lima dan enam, seolah-olah meningkatkan ‘hujung kuasa’ enjin ini ke tahap yang lebih ekstrim.
Sungguhpun saya tidak menguji kelajuan tertinggi GR Corolla ini, namun saya sempat menjeling meter menunjukkan kelajuan 148km/j yang telah saya capai hanya sekitar enam ke tujuh saat berlepas daripada lampu merah di persimpangan.
Kebolehan memilih pemanduan keempat-empat roda (All Wheel Drive) yang juga mampu dilaras sama ada anda menginginkan pengedaran kuasa tork atau daya kilasan kuasa 60 peratus roda hadapan atau 40 peratus roda belakang, 50:50 atau 30:70.
Enjin tiga silinder, 1.6cc, lengkap dengan turbo, melengkapkan senario keseronokan memandu tanpa ragu-ragu lagi di mana pun anda tuju kenderaan ini.
KESIMPULAN
Kereta berprestasi dan bukan biasa-biasa. Bukan untuk kegunaan bersiaran atau bersantai dengan keluarga, malah ia juga bukan kenderaan untuk anda berulang-alik ke tempat kerja. Ia adalah sebuah kenderaan serius, untuk mereka yang mementingkan dan mewajibkan prestasi, sama ada dari segi pengendalian atau keupayaan prestasi enjin.
Maka, dengan harga pasaran RM355,000, adakah membolehkan kereta Jepun ini diletakkan di sebelah kereta-kereta sport dari Jerman, Itali atau Amerika Syarikat?
SPESIFIKASI
ENJIN 3 SILINDER, 1.6 LITER TURBO
KUASA KUDA 300PS
TORK MAKSIMUM 370Nm
PECUTAN 0-100KM/J DALAM 5.3 SAAT
GEAR 6 KELAJUAN
BREK CAKERA LENGKAP SLOT
PENGUDARAAN DENGAN 4 PISTON KALIPER (HADAPAN), 2
PISTON KALIPER (BELAKANG).
BANTUAN PEMANDUAN ELEKTRONIK (TOYOTA SAFETY SENSE)
• -SISTEM AMARAN LANGGAR BELAKANG (PCS)
• -PENGAWALAN PELAYARAN RADAR DINAMIK (DRCC)
• -AMARAN KELUAR LALUAN (LDA)
• -KAWALAN SULUHAN TINGGI AUTOMATIK
• -KAWALAN CENGKAMAN RODA
• -KAWALAN KESTABILAN KENDERAAN