Top Glove catat untung bersih RM50.67 juta bagi suku ketiga - Utusan Malaysia

Top Glove catat untung bersih RM50.67 juta bagi suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM50.67 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024, berbanding kerugian bersih RM130.59 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

Ini adalah untung bersih suku tahunan pertama syarikat pembuat sarung tangan terbesar itu sejak merekodkan rugi bersih pada suku keempat tahun kewangan 2022.

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, prestasi lebih baik setelah mengambil kira hasil daripada penjualan tanah berlebihan.

Suku yang memberangsangkan juga didorong terutamanya oleh permintaan sarung tangan yang lebih kuat berikutan pelanggan mengisi semula inventori sarung tangan mereka selepas mengosongkan stok berlebihan.

Bagi suku yang sama, kumpulan mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM637 juta, peningkatan 16 peratus suku ke suku dan 20 peratus tahun ke tahun.

Kerugian operasinya berkurangan kepada RM34 juta daripada kerugian RM59 juta pada suku kedua 2024, mewakili peningkatan 42 peratus.

Sementara itu, volum jualan yang telah meningkat sejak suku keempat tahun kewangan 2023 meneruskan aliran menaiknya, meningkat 13 peratus berbanding suku kedua 2024, mencerminkan pemulihan mantap kumpulan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pula, kumpulan merekodkan rugi bersih lebih rendah RM58.24 juta berbanding RM463.50 bagi tempoh sama tahun sebelumnya dan pendapatan sebanyak RM1.68 bilion daripada RM1.78 bilion pada 2023.

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, pihaknya gembira dapat meraih kembali keuntungan pada suku ini seiring dengan pemulihan industri sarung tangan.

“Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan permintaan sarung tangan dengan kembalinya pesanan pelanggan, serta usaha yang berterusan untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kos kami, dan juga hasil daripada penjualan tanah berlebihan.

“Kami tetap menghargai usaha dan komitmen yang baik dari rakan sekerja kami yang telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pemulihan kami,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prospek masa depan, Top Glove menjangkakan momentum peningkatan akan bertambah pesat bagi pengeluar sarung tangan di Malaysia, dengan bilangan tinggi kes sarung tangan pengeluar asing termasuk dalam senarai amaran impot Pentadbiran Makanan dan Ubat Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

“Top Glove juga meramalkan peluang perniagaan yang lebih besar di pasaran Amerika Syarikat (AS) berikutan tindakan kerajaan itu mengenakan tarif ke atas sarung tangan perubatan dari China menjelang 2026.

“Ini menyebabkan pengeluar sarung tangan China tidak berkemungkinan untuk terus mengeksport ke AS. Pelanggan AS dijangka akan mula beralih kepada pembekal dari negara lain sebelum 2026 apabila tarif berkuat kuasa.

“Top Glove sebagai pengeksport sarung tangan utama ke AS berada di kedudukan optimum untuk meraih lebih banyak bahagian pasaran daripada lencongan perdagangan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya