THP, Cenergi jalin kerjasama bangun loji kuasa biogas 1.2MW di Johor - Utusan Malaysia

THP, Cenergi jalin kerjasama bangun loji kuasa biogas 1.2MW di Johor

KETUA Pegawai Eksekutif TH Plantations Berhad, Mohamed Zainurin Mohamed Zain (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Berhad, Hairol Azizi Tajudin berjabat tangan selepas menandatangani dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Pembinaan Stesen Janakuasa Biogas di Bukit Lawiang, Kluang, Johor antara THP Applications and Services Sdn. Bhd. dan Cenergi RE Sdn. Bhd., di Menara TH, Jalan Tun Razak di sini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: TH Plantation Berhad (THP) dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) bekerjasama membangun dan membina loji kuasa biogas 1.2 megawatt (MW) di Bukit Lawiang, Kluang, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantation Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata loji janakuasa biogas itu disasarkan beroperasi pada 2026.

“Setelah beroperasi, tenaga elektrik yang dijana daripada loji janakuasa biogas ini akan dijual kepada grid nasional yang diuruskan oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di bawah Skim Kesesuaian SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari).

“Kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan nilai pelaburan Tabung Haji di samping mengutamakan kelestarian alam sekitar,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, semalam.

Loji kuasa biogas itu boleh membantu mengelakkan kira-kira 20,000 tan pelepasan karbon setiap tahun, bersamaan dengan 4,760 kereta yang dipandu dalam setahun selain dapat menghasilkan elektrik yang mencukupi untuk menampung sehingga 1,200 rumah setiap tahun.

Menurutnya, projek tersebut adalah salah satu strategi THP dalam mengoptimumkan rawatan efluen kilang kelapa sawit dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Jelasnya, projek ini juga adalah sebahagian daripada Rancangan Perniagaan Strategik lima tahun THP iaitu THP Al-Falah 22/22.

“Tenaga diperbaharui (RE) dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam penjanaan elektrik di Malaysia, memandangkan banyaknya sumber biomas dan biogas.

“THP komited untuk meneroka peluang menjadi pembekal stok bio yang boleh dipercayai untuk industri RE,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, menerusi kerjasama itu, syarikat akan menawarkan kepakaran dan perkhidmatannya untuk menyokong THP dengan perjalanan kemampanannya, khususnya dalam mengurangkan pelepasan karbon.

“Ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi dan syarikat sentiasa bersemangat untuk menyokong THP dalam mengintegrasikan teknologi hijau ke dalam operasinya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya