Syarikat China intai peluang pelaburan industri halal tempatan - Utusan Malaysia

Syarikat China intai peluang pelaburan industri halal tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri halal tempatan terbukti membuka mata pelabur luar apabila lebih banyak syarikat dari China mengintai peluang pelaburan seterusnya memperkembang industri tersebut ke peringkat global.

Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC), Datuk Seri Tan Thian Lai berkata, banyak syarikat China menyatakan hasrat mempelajari industri halal Malaysia kerana melihat pensijilan halal di negara ini antara yang terbaik di dunia.

Datuk Seri Tan Thian Lai

“Kebanyakan syarikat meliputi industri makanan dan minuman (F&B), farmaseutikal, serta kosmetik di China mula sedar kepentingan pensijilan halal.

“Mereka (syarikat China) melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang amat menitik beratkan piawaian halal dalam setiap produk yang dihasilkan. Bagi mereka, ia satu peluang yang baik untuk mendalami piawaian halal ini bagi produk yang dihasilkan,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, terdapat beberapa syarikat yang bersedia untuk melabur dalam menyediakan fasiliti penyediaan dan pembungkusan barangan halal di negara ini.

“Pasaran halal ini amat luas dan tidak terhad kepada 1.4 billion rakyat China sahaja, kerana kebelakangan ini masyarakat bukan Islam juga sudah tahu kepentingan halal dalam produk yang digunakan.

“Disebabkan itu, rakan perniagaan dari Guandong, Shanghai dan Beijing mula menyatakan hasrat untuk membuka kilang mereka di Malaysia agar mudah produk halal yang dikeluarkan mereka dipantau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berharap lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang bermula hari ini akan memberi manfaat buat kedua-dua negara dalam memperkasakan industri halal dunia.

Pensijilan Halal Malaysia yang dikelola oleh Jakim diiktiraf dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan di tempat pertama daripada 81 negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Saiz pasaran halal global diunjur mencecah AS$9.71 trilion menjelang 2025 dan pembangunan ekonomi negara Islam seperti Indonesia, Arab Saudi, Iran dan Pakistan juga semakin memuncak, sekali gus berupaya merangsang jangkauan pasaran produk halal pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN