SUBANG JAYA: Komuniti pusat penjagaan warga emas, Sunway Sanctuary menyasarkan untuk mencapai 60 peratus kadar penghunian menjelang tahun depan.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, buat masa ini, kadar penghunian telah mencapai 30 peratus atau 70 bilik yang didiami oleh pelanggan warga emasnya.
“Kami sentiasa aktif melakukan promosi terutamanya di negara empat musim seperti Jepun, Eropah dan New Zealand untuk meningkatkan jumlah penghunian sekitar 140 sehingga 150 menjelang tahun depan.
“Kami yakin dengan sasaran tersebyt kerana kualiti hidup yang tinggi di Malaysia, disokong oleh kadar pertukaran mata wang yang kompetitif telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi persaraan pilihan,” katanya di sidang media ulang tahun pertama Sunway Sanctuary, di sini semalam.
Sunway Sanctuary adalah sebahagian daripada pembangunan Pusat Perubatan Sunway yang terletak di Menara D dari Aras 15 hingga 30.
Kediaman warga emas ini menawarkan 235 unit dengan studio, dan suite servis satu dan dua bilik tidur.
Julat binaan dari 406 hingga 845 kaki persegi dengan lapan jenis susun atur. Harga bermula dari RM8,050 sebulan.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Sunway Sanctuary, Leonard Theng berkata, Sunway Sanctuary sentiasa berinovasi dan mengatur program yang mampu untuk meningkatkan
tahap kesihatan dan aktiviti warga emas yang tinggal di sana.
Beliau turut mendedahkan Sunway Sanctuary akan memperkenalkan Kelab Sanctuary, yang akan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk kelas kecergasan, aktiviti sosial, bengkel pendidikan dan program kesihatan.
“Mengenai penginapan jangka pendek di Sunway Sanctuary, kita akan menawarkan pakej penginapan pendek termasuk penginapan yang boleh disesuaikan dengan makanan untuk beberapa hari, minggu atau lebih lama.
“Pada masa ini, had penginapan minimum bagi setiap penghuni ialah sebulan. Namun, bermula dari 1 Julai, pakej penginapan singkat bersama Kelab Sanctuary akan dibuka kepada orang ramai,” ujarnya.
Kemudahan sedia ada di Sunway Sanctuary termasuk kolam infiniti yang dipanaskan, gimnasium, sauna, bilik urut, salun, dek yoga, bilik dobi, ruang kerja kongsi, ruang acara, ruang istirahat, teater mini, bilik karaoke, bilik permainan, perpustakaan, bilik biliard, bilik komuniti dan ruang istirahat di setiap tingkat.
Ia juga menawarkan perkhidmatan pelengkap seperti pakej penjagaan selepas ortopedik dan pakej penjagaan selepas pembedahan untuk penghuninya. – UTUSAN