PETALING JAYA: Solarvest Holdings Bhd. (Solarvest) dan Serikandi Holdings Sdn. Bhd. berjaya melengkapkan projek solar atas bumbung pertama Brunei di Sekolah Antarabangsa Jerudong yang berkapasiti puncak 382.53 kilowatt (kWp).
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi Solarvest, Encik Leon Liew Chee Ing berkata, projek itu dianggarkan menghasilkan hampir 600,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga setiap tahun.
“Pembinaan projek ini bertujuan bagi mengurangkan jejak karbon di Sekolah Antarabangsa Jerudong sebanyak 3,570 tan.
“Ia juga berfungsi sebagai platform pendidikan bagi pelajar melibatkan diri dengan teknologi tenaga boleh diperbaharui secara langsung dan membolehkan mereka belajar tentang tenaga lestari,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada pelan hala tuju lima tahun Solarvest dalam mengukuhkan kedudukan mereka di tujuh negara Asia-Pasifik.
“Ia juga membuktikan kuasa kerjasama dan pemikiran strategik dalam menangani cabaran iklim global.
“Dengan memanfaatkan tenaga suria, ia dapat mengurangkan pelepasan karbon dan membuka jalan untuk masa depan yang lebih bersih dan mampan untuk Brunei,” katanya yang turut mengharapkan projek solar itu dapat meletakkan Solarvest sebagai peneraju dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui serantau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holding Berhad, Davis Chong Chun Shiong berkata, projek solar itu seiring dengan sasaran Brunei untuk mencapai tenaga boleh diperbaharui sebanyak 30 peratus menjelang 2035.
“Dengan ini, ia dapat membuka jalan bagi Brunei untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dalam menghasilkan tenaga.
“Pelaksanaan projek solar pertama ini juga dapat dijadikan contoh untuk projek masa depan di Brunei dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan kos.
“Kejayaan projek ini juga dilihat berpotensi membawa kepada penciptaan dasar sokongan dan insentif untuk penggunaan solar yang lebih luas,” ujarnya.
Semasa taklimat kewangannya baru-baru ini, Solarvest turut menyatakan dedikasi untuk mengembangkan jejaknya dan memacu inisiatif tenaga mampan di seluruh rantau ini, bertujuan meraih projek terkumpull 200 megawatt dalam pasaran serantau menjelang 2025. – UTUSAN