PETALING JAYA: Pembekal sistem dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), SNS Network Technology Berhad (SNS) telah dilantik oleh VSTECS Berhad sebagai peruncit rasmi untuk peranti Starlink di Malaysia.
Pengarah Urusan SNS Network, Ko Yun Hung berkata, pelantikan itu membolehkan syarikat mengembangkan rangkaian produk ICT termasuk standard kit Starlink dirangkaian kedainya atau secara dalam talian serta pelanggannya termasuk agensi kerajaan dan perusahaan komersial.
Katanya, peranti jalur lebar satelit Starlink datang dengan piring satelit, bersama dengan pangkalan, penghala, kabel kuasa dan kabel Starlink.
“Kami berbesar hati diberi kepercayaan sebagai salah satu peruncit rasmi peranti Starlink yang sah di Malaysia.
“Pelantikan itu menandakan kejayaan baharu dalam perjalanan pengembangan produk ICT kami. SNS Network kini akan menawarkan sambungan internet lengkap di Malaysia daripada jalur lebar gentian tetap serta penyelesaian jalur lebar tanpa wayar seperti 4G dan 5G kepada peranti jalur lebar satelit,” katanya dalam kenyataan.
Starlink ialah buruj internet satelit dikendalikan oleh Starlink Services, LLC, anak syarikat milik penuh SpaceX.
Peranti itu turut dikenali dengan internet berkelajuan tinggi, kependaman rendah,menyediakan akses internet yang berkualiti dan kos efektif ke rumah, perniagaan dan terutamanya memenuhi keperluan mereka yang berada di lokasi terpencil yang pada masa ini kurang mendapat perkhidmatan atau tidak dijangkau.
Melalui pangkalan pelanggan akhir tahun 2023 yang mengagumkan sebanyak 2.3 juta dan kehadiran di lebih 70 negara, Starlink telah muncul sebagai pemain transformatif sejak melancarkan satelit orbital pertamanya pada 2019. – UTUSAN