Sirage Medco bangunkan hospital pakar, mula operasi Julai 2027 - Utusan Malaysia

Sirage Medco bangunkan hospital pakar, mula operasi Julai 2027

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Pengerusi Sirage Medco Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Sirage Medco Sdn Bhd, Asrul Muniff Azizan bertukar dokumen perjanjian (MoU) dengan Pengarah YT Medical City Sdn Bhd, Azhar Zahari ketika majlis pelancaran Projek Pembangunan Hospital Siraj Putra Specialist Centre di Le Meridien Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, Sirage Medco Sdn. Bhd. mengumumkan pelancaran projek Hospital Pakar Siraj Putra di Putra Medical City, Serdang yang dijangka memulakan operasi pada Julai 2027.

Pengerusi Sirage Medco, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, hospital pakar berkenaan akan beroperasi dengan 300 katil dengan masing-masing 150 katil pada fasa pertama dan kedua.

Jelas beliau, hospital itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Serdang Lama dan Seri Kembangan selain meliputi penduduk di Putrajaya, Sepang, Kajang serta Seremban, Negeri Sembilan.

“Projek ini dijangka menjadi katalis dan pelopor untuk Universiti Putra Malaysia (UPM) serta menjadi model pembangunan mampan bagi universiti awam lain dalam meningkatkan pendapatan universiti.

“Kita akan melihat peningkatan pendapatan yang konsisten untuk UPM sebaik sahaja projek ini beroperasi dan seterusnya memacu perkembangan lebih mampan bagi komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Hospital Pakar Siraj Putra, di sini.

Turut berkenan berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mengulas lanjut, Syed Razlan berkata, Sirage Medco berkolaborasi dengan YT Medical City Sdn. Bhd. yang merupakan pemaju utama bagi keseluruhan Putra Medical City dalam membangunkan hospital pakar berkenaan.

Ujarnya, Putra Medical City kekal sebagai sebuah kawasan yang dimiliki sepenuhnya oleh UPM dan Sirage Medco bertanggungjawab untuk mengembangkan serta mengoperasikan hospital sepanjang tempoh kontrak berkuatkuasa.

“Komitmen kami bersama YT Medical City sebagai pemaju utama adalah untuk membuka potensi aset UPM dan meningkatkan pendapatan universiti setiap tahun dengan pendekatan yang berstruktur dan berterusan.

“Ini bukan semata-mata tentang pembangunan infrastruktur tetapi juga membina legasi berterusan yang akan bermanfaat bagi UPM untuk jangka panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sirage Medco, Asrul Muniff Azizan berkata, projek hospital yang berkeluasan kira-kira 2.084 hektar itu membabitkan kos dianggarkan hampir RM400 juta.

“Pembangunan projek itu yang bermula pada Januari 2025 dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa 10 tahun melibatkan kedua-dua fasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya