SIBS 2024 sasar raih nilai transaksi RM7 bilion - Utusan Malaysia

SIBS 2024 sasar raih nilai transaksi RM7 bilion

EXCO Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Hotel Sheraton. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Invest Selangor Berhad optimis Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 mencapai nilai transaksi berpotensi sebanyak RM7 bilion akan berlangsung pada Julai dan Oktober depan.

Exco Perdagangan, Pelaburan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, program dua siri itu dijangka menerima sejumlah 60,000 pelawat perniagaan melibatkan lebih 80 negara.

“Dengan kerja keras pasukan dan keadaan ekonomi semasa, kami yakin mampu menarik sasaran potensi transaksi bernilai RM7 bilion berbanding RM6.12 bilion tahun lalu.

“Oleh itu, kali ini kami akan memberikan lebih nilai dengan menampilkan sebanyak lima acara utama dan dianjurkan kepada dua siri yang berlangsung bermula 25 hingga 27 Julai, manakala, siri dua pula berlangsung pada 16 hingga 19 Oktober depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan SIBS 2024 di sini.

SIBS 2024 akan menyediakan lebih banyak peluang untuk kemas kini industri, penglibatan industri dan peluang rangkaian, untuk pelawat perdagangan antarabangsa dan delegasi perniagaan.

SIBS 2024 pada siri satu akan menampilkan dua acara yang memfokuskan kepada tema pelaburan iaitu Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK).

Sebaliknya, SIBS 2024 siri kedua pula menampilkan tiga acara utama dan meneroka sektor tertentu, Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC) dan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

SIBS 2024 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan diterajui oleh kerajaan Selangor dengan anjuran Invest Selangor Berhad akan menjadi salah satu dan hab rangkaian terbesar di rantau ini untuk pempamer, pelabur dan industri pemimpin di seluruh Asia Tenggara.

Sze Han berkata, SIBS 2024 juga menampilkan speaker utama termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Selain itu, untuk kali pertama SABC menampilkan speaker dari Timor-Leste untuk memperkenalkan negara itu dan peluang potensi pelaburan.

“Saya menggalakkan pemain industri tempatan dan antarabangsa untuk merebut peluang menyertai SIBS 2024 untuk mengemas kini dari speaker serta potensi jalinkan rangkaian dengan perwakilan persidangan antarabangsa dari China, Australia, Asia Tenggara, Asia Barat dan Eropah,” katanya.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, buat pertama kali, Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC 2024) bersedia dengan tema memperkasakan ekosistem halal sempena SIBS 2024.

Katanya, SELHAC 2024 akan memberi tumpuan kepada tiga bidang penting bagi memudahkan pensijilan halal untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengoptimumkan logistik rantaian bekalan halal serta menggunapakai inovasi halal.

“Kami menjangkakan untuk mencapai lebih daripada 60 peratus penembusan pasaran daripada 150 syarikat yang dijangka mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan pada acara tersebut.

“Melalui penyertaan SIBS 2024, kami berharap lebih banyak pelaburan, perniagaan dan rangkaian kerjasama baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN