Royal Enfield Shotgun 650 - Kruiser khas untuk menepati selera anda - Utusan Malaysia

Royal Enfield Shotgun 650 – Kruiser khas untuk menepati selera anda

Gaya Retro tetap menawan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT terhadap jentera dua roda sangat berbeza antara satu pencintanya dengan yang lain. Ada yang mencintai kelajuan, ada pula memilih untuk tunggangan agresif membelah selekoh, serta yang lebih menggilai merentas laluan-laluan berlecak, berpasir atau berhalangan.

Terdapat satu lagi kumpulan pencinta motosikal iaitu mereka yang menggemari rupa bentuk retro atau klasik. Sama ada jenis kruiser atau street, dan ternyata, bukanlah mengkhususkan kelajuan.

Semenjak Royal Enffield diperkenalkan pada pasaran tempatan oleh Didi Resources, kebolehan untuk memiliki sebuah jentera retro kruiser yang lebih mampu milik kini terbuka luas.

Royal Enfield tidak putus-putus memperkenalkan pelbagai varian, model, tetapi hampir keseluruhannya berkonsepkan retro.

Shotgun 650 diperkenalkan kepada umum ketika pameran automotif di MAEPS, Serdang dua bulan lalu.

Anda tidak salah sekiranya mengatakan model ini seperti pernah dilihat sebelum ini. Ya, Shotgun 650 ini diasaskan pada model Super Meteor 650 yang diperkenalkan tidak sampai setahun yang lalu.

Saya kurang pasti atas sebab apa Royal Enfield mengeluarkan model Shotgun ini walaupun atas alasan Shotgun adalah varian yang boleh dipadankan oleh pelanggan. Saya perhatikan kedua-dua model ini berkongsi rangka (casis) dan beberapa bahagian utama yang lain.

Walau bagaimanapun, ayuh kita lihat hasil pandu uji saya setelah seminggu bersama jentera ini.

REKA BENTUK LUARAN
Dari segi dimensinya, ia sama seperti Super Meteor. Walaupun begitu, pertukaran skim warna yang diperkenalkan untuk Shotgun ini pula bukanlah satu-satunya persalinannya.

Bahagian yang paling ketara ialah pelana untuk penunggangnya kini mempunyai ‘bingkai’ atau pemegangnya sendiri, membolehkan anda menanggalkan pelana pembonceng belakang. Mungkin anda tertanya-tanya kenapa fungsi ini wujud?

Ini adalah disebabkan terdapat sebahagian peminat motosikal klasik atau retro ini menggemari konsep Bobber, iaitu kruiser yang mempunyai pelana tunggal dan struktur pelana tersebut tampak tergantung tanpa pelana pembonceng.

Bahagian paling unik, pelana jenis terapung

Bahagian kedua yang ketara perubahannya ialah sistem ekzosnya. Jika Super Meteor mempunyai muffler berwarna krom, Shotgun pula warna hitam mati (Matte Black), dan muffler tersebut didatangkan dengan rekaan klasik, iaitu mempunyai muncung tegak panjang di hujungnya.

Kedua-dua bahagian ini adalah bahagian yang diubah suai secara standard dari kilang. Begitu pun, hanya untuk model Shotgun ini, bakal pemiliknya boleh memilih pelbagai aksesori tambahan yang boleh dipesan dan dipadankan mengikut selera dan gaya anda.
Aksesori khas untuk Shotgun ini disediakan terus oleh RE sebagai langkah untuk pemiliknya memadankan motosikal mereka mengikut cita rasa dan gaya masing-masing.

PENUNGGANGAN
Saya menjangkakan penunggangan Shotgun ini sama seperti waktu menunggang uji Super Meteor. Secara jujurnya, saya merasakan sistem suspensinya kali ini lebih teguh, lebih kenyal, tetapi tidak sampai menyakitkan tulang belakang atau punggung.

Saya melihat sistem suspensi belakangnya sama seperti Super Meteor (mungkin terdapat sedikit perubahan dalam pelarasannya, namun saya tidak mendapat jawapan yang pasti berkenaan hal ini).

Antara aksesori yang boleh dipadankan

Penambahan kekenyalan suspensi belakang mungkin adalah daripada faktor pemegang pelana tunggalnya kini iaitu satu entiti yang berasingan daripada casisnya (bagi membolehkan pelana ini diubah daripada dua kusyen ke kusyen tunggal). Saya juga pasti, kusyen pelana tunggal ini berlainan daripada kusyen pelana standardnya. Ia lebih nipis, mempunyai kontur atau permukaannya mengikut bentuk punggung.

Oleh kerana sistem suspensinya dirasakan lebih teguh, saya selalu terlupa bahawa ini adalah motosikal kruiser, yang tidak berkebolehan ‘meleper’ dalam selekoh. Tetapi oleh kerana ia sungguh teguh, telah menambah keyakinan saya menunggang Shotgun ini sedikit agresif ketika melalui selekoh.

Hanya apabila tergeser pemijak kaki Shotgun ini barulah saya tersedar bahawa saya telah mencondongkannya secara maksimum ketika dalam selekoh.

Reviu saya mengenai posisi penunggangan untuk varian Bobber Shotgun ini, terbahagi kepada dua bahagian utama.

Pertama, kedua-dua lengan saya dirasakan agak mendepa kehadapan dan posisi yang membuatkan saya sedikit membongkok. Ini adalah kerana bar pemegangnya agak rendah namun menepati posisi sebenar imej sebuah motor bobber.

Kedua, setelah dipadankan dengan posisi pemijak kaki yang tidak melunjur ke hadapan dan masih di kawasan neutral, membolehkan penunggangnya mengimbang gaya penunggangan walau pada kelajuan tinggi.

Sungguhpun begitu, saya menjangkakan penunggangnya bakal mengalami lenguh pada tengah bahagian belikat selepas menunggangnya pada jarak yang jauh.

Meredah lebuh raya penghubung antara Lembah Klang sudah tentu membuat saya ingin mencuba kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh Shotgun. Saya mendapati, kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) agak mudah dicapai.

Namun ketidaksesuaian fizikalnya untuk meredah angin pada kelajuan yang tinggi, menyebabkan saya lebih senang menunggangnya di jalan raya biasa (tanpa tol) pada kelajuan santai dalam 70 ke 80 km/j.

Pelana boleh ditukar ganti atau boleh ditanggalkan daripada dua pelana ke pelana tunggal

KESIMPULAN
Daripada perasaan tunggangannya, saya rasakan Shotgun ini lebih menyamai posisi penunggangan Harley-Davidson Sportster Forty Eight. Mujur kunci penghidupnya berada pada panel meter, jika ia berada pada bahagian tepi motor (berdekatan enjin), pasti ia lebih terasa se­perti sebuah motor klon.

Prestasi enjinnya bagi saya sangat baik dan memadai, sama ada dari segi tujahan kuasa pada gear rendah mahupun gear tinggi, atau kuasa melahunya ketika penunggangan santai yang tidak memerlukan pertukaran gear pada keperluan melajukan sedikit jentera ini.

Begitu juga pada prestasi suspensi dan keupayaan membrek dalam apa jua keadaan adalah sangat baik dan berkesan.

Namun, sebagai penggemar dua roda, sudah pasti kita mempunyai cita rasa dan selera tersendiri.

Jika roda hadapan Shotgun ini menggunakan rim atau saiz tayar yang lebih lebar, serta menggunakan jejari lidi dan bukannya rim sport, imej keseluruhan Shotgun ini tentu lebih ‘macho’ atau lebih ‘ganas’.

Penggunaan cermin pandang belakang jenis “bar end” juga menaikkan seri model ini.

Tag harga jualan yang bermula daripada RM34,900 (harga berbeza mengikut skim warna dan aksesori), ternyata tidak terlalu mahal dan membolehkan penggemarnya memiliki motosikal ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya