PETALING JAYA: Lebih banyak projek pembangunan dijangka akan dilaksanakan kerajaan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api bermula bulan ini, kata Kenanga Investment Bank Bhd. (Kenanga IB).
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan kini mempunyai lebih banyak ruang fiskal untuk melaksanakan banyak projek pembangunan.
Menurutnya, ini kerana kedudukan kewangan kerajaan mendapat sokongan daripada penyasaran subsidi bahan api diesel mulai 10 Jun 2024.
“Walaupun prestasi sektor pembinaan setakat ini lebih baik, namun kami yakin makin banyak projek infrastruktur mega akan diumumkan seperti projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bernilai RM45 bilion.
“Pertumbuhan terhadap sektor ini turut didorong sebahagian besar oleh penganugerahan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM10 bilion dan pelbagai kerja-kerja pembinaan pusat data,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sebelum ini, Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung bagi mengekang ketirisan bahan api itu.
Pelaksanaan itu dianggarkan mampu membawa penjimatan bernilai RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Sementara itu, hasil penyelidikan Kenanga IB mendapati, pasaran pembinaan sektor swasta kekal rancak ekoran terdapat pelaburan besar-besaran dalam pusat data baharu dan kilang pembuatan semikonduktor.
Katanya, sektor tersebut menikmati aliran daripada pekerjaan sektor swasta yang dilihat kukuh, terutamanya pekerjaan bagi pembinaan pusat data.
“Sehubungan itu, Gamuda Bhd. memperoleh kontrak pusat data bernilai RM1.74 bilion di Elmina Business Park, Selangor pada Mei lalu.
“Sunway Construction Group Bhd. (SUNCON) dengan nilai kerja RM748 juta di Cyberjaya pada Mac 2024 dan tambahan RM1.5 bilion kerja pusat data untuk Yellowwood di Johor pada Jun ini,” katanya.
Justeru, Kenanga IB yakin akan ada lebih banyak lagi permulaan projek pusat data di negara ini.
“Ini susulan komitmen Google untuk melabur sebanyak RM9.4 bilion bagi membangunkan pusat data wilayah pertama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN