Rangkaian 5G kedua dijangka capai 80 peratus liputan pada 2026 - Utusan Malaysia

Rangkaian 5G kedua dijangka capai 80 peratus liputan pada 2026

5G
LIPUTAN 5G semakin luas di negara ini. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian 5G kedua dijangka mengambil masa selama kira-kira 18 bulan untuk mencapai 80 peratus liputan penduduk menjelang separuh pertama 2026, sekali gus menyamai prestasi liputan Digital Nasional Bhd (DNB) ketika ini.

Penganalisis CIMB Securities, Foong Choong Chen berkata, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang terpilih untuk menerajui entiti baharu rangkaian 5G kedua di Malaysia akan terus memajak akses 5G daripada DNB dan membolehkan ia menawarkan perkhidmatan itu kepada pengguna dalam tempoh berkenaan,.

“Bagi MNO yang kekal di DNB, kami melihat ruang untuk mengoptimumkan kos korporat berjumlah RM400 juta setahun dan beberapa pajakan tapak pihak luar berjumlah RM250 juta setahun.

“Selepas dioptimumkan, kami menganggarkan kos pelaburan 5G oleh DNB sebahagian besarnya boleh dibandingkan dengan entiti baharu selepas mengambil kira harga tender.

“Jika masih terdapat beberapa perbezaan kos, CIMB Securities berpandangan ia berpotensi dipulihkan menerusi pembayaran akses borong 5G daripada entiti baharu kepada DNB untuk kawasan yang belum diliputi oleh rangkaian 5G kedua,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Selain itu, beliau berkata, ia juga dapat dipulihkan menerusi insentif atau bantuan kewangan daripada kerajaan kepada DNB.

“Baru-baru ini, ketiga-tiga MNO utama iaitu CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile menyatakan minat untuk menerajui pembangunan rangkaian 5G kedua.

“Ia selaras dengan jangkaannya bahawa semua MNO yang layak akan mengambil bahagian dalam tender untuk Entiti B bagi menjadikannya proses yang adil, telus dan berdaya saing.

“Pada peringkat ini, proses tender untuk Entiti B tidak jelas, walaupun kami mengumpul daripada sumber industri kami bahawa ia berkemungkinan menjadi Permintaan Tender, bukannya lelongan,” katanya.

Jelasnya, walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan proses lelongan, Cimb Securities percaya harga bidaan mungkin maksimum pada RM2 bilion.

“Ia dalam anggaran perbezaan kos kami antara DNB dan Entiti B untuk melancarkan dan mengendalikan rangkaian 5G selama 10 tahun.

“Jika harga bidaan lebih tinggi, pada pandangan kami adalah lebih berbaloi untuk kekal di DNB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN