PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, hari ini merasmikan Projek Pusat Data Teknologi Hijau (Green Data Center) LPPSA semasa lawatan kerja beliau ke LPPSA.
Projek ini merupakan pendekatan komprehensif LPPSA dalam menguruskan pusat data dengan cara mesra alam dan cekap tenaga, yang mampu mengurangkan penggunaan kuasa bagi menyokong pemeliharaan alam sekitar dan mengoptimumkan kos organisasi melalui teknologi terkini.
Projek ini bertujuan menaik taraf Pusat Data LPPSA yang telah beroperasi sejak 2007.
Antara kebaikan Pusat Data Teknologi Hijau ini termasuklah mengurangkan penggunaan peralatan ICT dan kabel data di Pusat Data, menjimatkan ruang dan mengurangkan penggunaan tenaga.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Nawawi, penggunaan teknologi hijau yang terkini memastikan pusat data sentiasa di barisan hadapan dalam inovasi teknologi selain membantu meningkatkan kecekapan operasi pusat data.
“Projek Pusat Data Teknologi Hijau ini adalah komitmen LPPSA terhadap kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi projek ini, LPPSA bergerak maju dengan penggunaan Teknologi Hijau bagi memperkukuhkan daya saing, di samping memberi manfaat yang signifikan kepada kewangan dan reputasi organisasi.
Projek ini adalah satu langkah penting ke arah pembangunan mampan pemeliharaan alam sekitar, menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan komuniti sekitar, meningkatkan kecekapan operasi dalam sektor perkhidmatan awam, sekali gus memberi kesedaran kepada organisasi lain untuk mengikuti jejak langkah yang sama. – UTUSAN