PTP terima Anugerah Kecemerlangan Industri kategori sektor perkhidmatan - Utusan Malaysia

PTP terima Anugerah Kecemerlangan Industri kategori sektor perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) bagi kategori sektor perkhidmatan kategori empat iaitu syarikat domestik dengan perolehan melebihi RM100 juta.

Anugerah diterima syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals berpangkalan di Belanda itu mencerminkan dedikasi berterusan syarikat terhadap merit dan mengejar prestasi tinggi.

Kejayaan terbaharu itu sekali gus mengiktiraf pencapaian dan sumbangan mengagumkan PTP sebagai pemain terkemuka dalam industri maritim dan turut meraikan status syarikat sebagai sebuah organisasi kebanggaan negara dalam kalangan syarikat utama terkemuka di negara ini.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, anugerah AKI adalah satu pengiktirafan kecemerlangan yang amat bermakna dalam kalangan organisasi perniagaan di Malaysia.

“Memenangi anugerah ini membuktikan komitmen PTP dalam menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa, memacu amalan inovatif, dan secara konsisten melebihi penanda aras industri.

“PTP komited untuk terus menambah baik perkhidmatan, untuk kekal sebagai peneraju industri maritim, baik di Malaysia mahupun di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

AKI mula diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 1991 untuk mengiktiraf syarikat Malaysia yang cemerlang, dan untuk menggalakkan peningkatan berterusan dalam pembuatan produk dan perkhidmatan yang diberikan.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman menerima anugerah tersebut daripada Menteri MITI, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Menurut Mark Hardiman, pencapaian itu merupakan satu pencapaian penting bagi PTP, sekali gus membuktikan usaha dan dedikasi pihak syarikat dalam mengejar kecemerlangan operasi.

“Usaha kami dalam menghasilkan pencapaian cemerlang seperti ini bukanlah mudah, kerana perjalanan itu sendiri memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

“Bagi PTP, kami sentiasa mengutamakan tahap keselamatan yang tertinggi dan mengutamakan pelanggan kami, serta memastikan tenaga kerja sentiasa bermotivasi tinggi, diperkasa dan kekal berkemahiran bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam landskap perniagaan yang sangat kompetetif masa kini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mark berkata, PTP kekal komited untuk memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia, teknologi dan proses.

“Kami akan terus berusaha untuk melebihi jangkaan dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai hab pemindahan kontena serantau yang terkemuka,” katanya.

Baru-baru ini, PTP turut merekodkan beberapa pencapaian operasi yang luar biasa termasuk menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang mengendalikan pecah rekod 1,077,747 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam sebulan tanpa mengalami sebarang kesesakan, pada bulan Mei 2024.

Selain itu, PTP mencapai pengiktirafan berprestij sebagai kedudukan pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena terkini 2023, diumumkan pada awal Jun 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya