PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara Kumpulan MMC yang berpangkalan di Malaysia dan Terminal APM yang berpangkalan di Belanda, mencatatkan rekod baharu dengan mengendalikan 1.07 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam sebulan.
Ia dicapai tanpa sebarang kesesakan sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai hab pemindahan paling sibuk dan terbesar di Malaysia.
Mengulas pencapaian itu, Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kejayaan terbaharu itu dicapai walaupun dalam persekitaran perkapalan global yang mencabar seterusnya membolehkan PTP menyediakan perkhidmatan yang unik dan berharga kepada rantaian bekalan global.
“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi dan komitmen yang cemerlang daripada semua untuk menetapkan keadaan perniagaan yang betul dan mampan, terutama dalam menerapkan strategi teknologi termaju dalam operasi harian.
“Kami juga memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan pelanggan bersepadu kepada pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2022, PTP mencipta sejarah sebagai terminal kontena pertama di Malaysia yang melepasi 1 juta TEU dalam sebulan, mencatatkan rekod 1,001,819 TEU pada waktu itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, PTP sentiasa menilai dan menambah baik hala tuju dan inisiatif strategiknya untuk memastikan pertumbuhan yang mampan, dengan tumpuan yang kukuh terhadap keselamatan dan meletakkan keutamaan kepada pelanggan.
“Pencapaian rekod baharu ini dan pelbagai pencapaian lain yang ditetapkan oleh PTP selama ini menggariskan nilai PTP kepada sektor maritim, kesejahteraan ekonomi dan perdagangan untuk rangkaian global.
“Pendekatan strategik PTP adalah untuk terus meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan operasi, dengan penekanan yang kuat terhadap keselamatan, adalah penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia dalam pasaran global yang semakin kompetitif.
“Usaha bersepadu kami untuk berkembang disokong oleh penekanan yang ketara pada peningkatan aset pelabuhan kami dan kerja infrastruktur, yang juga sejajar dengan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan dan pelan hala tuju strategi pendigitalan,” katanya. – UTUSAN