KUALA LUMPUR: POS Malaysia Bhd. melancarkan inisiatif kesejahteraan pekerja, “FIT” yang komprehensif untuk menangani isu kesihatan dan kesejahteraan mental yang bakal dimanfaatkan oleh lebih 14,000 kakitangannya.
Program itu tersedia dalam platform mudah alih penglibatan pekerjanya, Kyzense, yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat kesihatan dan kesejahteraan digital Asia Tenggara, Naluri Pte Ltd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Pos Malaysia berdedikasi untuk kesihatan dan kesejahteraan semua kakitangannya.
Ujarnya, FIT merupakan program kesejahteraan komprehensif yang menawarkan kakitangan Pos Malaysia akses yang mudah dan sentiasa aktif kepada sokongan kesihatan fizikal dan mental.
“Kunci strategi transformasi kami adalah mempunyai kakitangan yang bermotivasi tinggi dan bekerja dalam persekitaran yang selamat dengan mengutamakan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi mereka setiap kakitangan.
“Semua Wira Pos kami akan mempunyai saluran khusus untuk berhubung dengan perunding penjagaan kesihatan dan jurulatih pakar apabila diperlukan dan sistem sokongan ini boleh diakses serta memberikan bantuan 24 jam sehari yang berkesan di hujung jari mereka,” katanya ketika Majlis Pelancaran Program Inovatif FIT.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Naluri, Azran Osman-Rani berkata, aplikasi itu menyatukan ciri-ciri ramalan dan kesejahteraan pencegahan Naluri ke dalam Kyzense.
“Ia untuk membantu mengubah penjagaan kesihatan tradisional yang reaktif iaitu penjagaan sakit kepada program FIT yang secara proaktif memastikan kakitangan sentiasa sihat dan terlibat,” katanya.
Beliau berkata, program ini menyediakan akses kepada sokongan sepanjang masa yang mudah daripada perundingan yang sulit dan selamat melalui perbualan, WhatsApp atau telefon melalui aplikasi Kyzense.
“Melalui aplikasi FIT, setiap kakitangan boleh mengambil penilaian yang disahkan untuk mengukur kebimbangan, kemurungan dan tekanan serta berhubung dengan pelbagai jurulati disiplin, termasuk ahli psikologi, pakar pemakanan dan pakar kecergasan,” katanya.
Tambahnya, perpustakaan sumber pendidikan seperti modul, video dan webinar dapat membantu setiap kakitangan dalam membuat pilihan Kesihatan yang termaklum.
“Melalui pemperibadian yang dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI), FIT bukan sahaja menangani kecergasan fizikal, tetapi juga diet, kesejahteraan mental dan pengurusan keadaan kronik.
“Dengan memanfaatkan kuasa AI, FIT menyesuaikan rancangan penjagaan khusus untuk keperluan individu yang membolehkan pengesanan awal potensi risiko kesihatan dan memastikan pekerja menerima sokongan yang paling relevan terhadap diri sendiri,” katanya. – UTUSAN