PNB catat pendapatan bersih RM13 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

PNB catat pendapatan bersih RM13 bilion tahun lalu

TAN SRI RAJA ARSHAD RAJA TUN UDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan peningkatan sebanyak 13 peratus dalam pendapatan kasar kepada RM16.4 bilion pada 2023 berbanding RM14.5 bilion tahun sebelumnya.

Dalam tempoh tersebut, pendapatan bersih pula meningkat 25 peratus kepada RM13 bilion berbanding RM10.4 bilion pada 2022.

Pengerusi kumpulan, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB telah menghasilkan pulangan memberangsangkan merentas portfolio produk terdiri daripada 17 dana, terutamanya melalui dana harga tetap dan berubah-ubah.

“Kenaikan had pelaburan individu untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan peningkatan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) telah mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 780,000 pemegang unit mengambil peluang meningkatkan simpanan mereka.

“Secara keseluruhan, perkembangan ini menghasilkan jualan tambahan sebanyak RM6.8 bilion bagi ketiga-tiga dana tersebut,” katanya dalam Laporan Tahunan Bersepadu (IAR) untuk tahun kewangan 2023 semalam.

Ini adalah IAR keduanya dan menggariskan pencapaian utama, membentangkan gambaran keseluruhan prestasi bagi tahun 2023 dan menjelaskan perjalanan progresifnya ke arah kelestarian.

Selain komitmen terhadap prestasi kewangan, PNB juga telah mengambil langkah signifikan dalam perjalanan kelestarian, terutamanya dengan menetapkan arah yang jelas untuk mencapai pelepasan sifar bersih di peringkat perusahaan dan portfolio.

Dalam pada itu, Raja Arshad menjelaskan, Rangka Kerja Kelestarian PNB menggariskan 10 komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan untuk memacu perniagaan dengan pelaburan sejajar ESG bagi menghasilkan pulangan mampan dan kompetitif.

“PNB telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menyokong matlamat ini, termasuk beralih kepada kenderaan elektrik, melanggan Tarif Elektrik Hijau dan membeli Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui.

“Selain itu, kami menerapkan pendekatan Kurangkan, Gantikan dan Ofset (R2O), yang mana Kumpulan PNB telah menetapkan tahun 2022 sebagai tahun asasnya, menilai pelepasan perusahaan dan mengenal pasti sumber pelepasan GHG bagi Skop 1, 2, dan 3.

“Strategi pelaburan PNB memberi tumpuan kepada sektor-sektor seperti pengangkutan hijau, tenaga boleh diperbaharui, bangunan hijau dan pertanian mampan, dengan 41 peratus daripada sasaran RM10 bilion menjelang 2030 telah dicapai menjelang akhir tahun 2023,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju PNB, Raja Arshad menerangkan, kumpulan mengambil pendekatan berhati-hati namun optimis bagi unjuran tahun ini.

“Landskap global terus berkembang dengan perubahan pesat dan cabaran yang tidak dijangka. Dalam persekitaran ini, komitmen PNB kekal kukuh, untuk mencari dan merebut peluang pelaburan baharu yang boleh memberi pulangan mampan kepada pemegang unit, sambil memastikan pelaburan mereka selamat sepenuhnya.

“Kami bertekad untuk cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan kami kepada pemegang unit dan tanggungjawab sosial kami yang lebih luas.

“Kami bersyukur atas keyakinan setiap pemegang unit terhadap PNB dan kami terus berusaha untuk mengekalkan kepercayaan tersebut melalui produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

Strategi kumpulan PNB yang baharu untuk tahun 2024 hingga 2026 adalah tinggi dan boleh dicapai, dirangka untuk memastikan PNB kekal sebagai organisasi yang progresif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya