PETALING JAYA: PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad menyumbangkan dua ekor lembu korban dengan nilai keseluruhan hampir RM11,000 kepada Masjid Al Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, dekat sini.
Sumbangan lembu korban itu merupakan program yang julung kalinya dilaksanakan oleh PMB Tijari sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan dalam masa sama meraikan sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Norleza Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
“Antara fokus CSR PMB Tijari adalah membantu dalam memperkasakan ilmu pengetahuan, pembangunan keharmonian komuniti, serta usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Hal ini termasuk usaha dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, PMB Tijari bertanggungjawab sebagai penyumbang dana untuk pembelian lembu manakala pihak Masjid Al Ikhlasiah yang juga rakan strategik pula membantu mengenal pasti seramai 80 keluarga asnaf yang layak menerima daging korban, selain melaksanakan agihan.
“Program CSR pada hari ini merupakan antara perancangan yang telah dirangka sempena sambutan ulang tahun ke-10 PMB Tijari bermula pada April 2024.
“Pelbagai program CSR serta acara korporat lain juga bakal diadakan sehingga 31 Mac 2025 bagi mengukuhkan lagi jenama PMB Tijari di mata masyarakat, disamping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan pihak berkepentingan yang lain,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk PMB Tijari, sila layari www.pmbtijari.com.my. – UTUSAN