PETALING JAYA: Petronas Lubricants International bekerjasama dengan Iceotope membangunkan penyelesaian pengurusan termal untuk pusat data, fasiliti pengkomputeran edge, dan operasi rantaian blok bagi meningkatkan kecekapan sambil mengurangkan emisi karbon dan penggunaan air.
Kerjasama ini memacu penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk menyampaikan teknologi penyejukan cecair baharu yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan sektor yang sedang berkembang, selaras dengan kemajuan berterusan infrastruktur digital global.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International, Hezlinn Idris berkata, kerjasama ini juga menawarkan impak signifikan dengan membolehkan peningkatan prestasi sektor infrastruktur data tanpa menjejaskan alam sekitar.
“Ini juga merupakan bukti kemajuan untuk Petronas Lubricants International kerana kami berusaha untuk menyumbang kepada sektor yang lebih luas selain automotif.
“Kami berbangga bekerjasama dengan Iceotope yang berkongsi kepakaran yang sama dalam teknologi penyejukan cecair,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Iceotope, David Craig berkata, pada masa kini, penggunaan kuasa dan impak alam sekitar adalah keutamaan utama bagi pengendali pusat data.
“Penyejukan cecair tepat merupakan perubahan revolusioner yang membolehkan organisasi memasang infrastruktur IT tanpa mengorbankan prestasi atau kelestarian.
“Kerjasama kami dengan Petronas Lubricants International meletakkan inovasi dalam amalan lestari di hadapan.
“Gabungan antara kepakaran Iceotope dan teknologi terkini Petronas bukan sahaja menyejukkan pusat data, malah memastikan penyejukan yang efisien dan bertanggungjawab pada standard tertinggi,” katanya
Berdasarkan kerjasama dengan Iceotope, Petronas Lubricants International memperkenalkan PETRONAS Iona Tera, cecair penyejuk yang direka khusus untuk pusat data yang semakin bergantung pada penyejukan cecair untuk mengekalkan suhu yang optimum. – UTUSAN