PETALING JAYA: Majoriti syarikat korporat di pelbagai sektor ekonomi negara mencatat peningkatan yang positif pada suku pertama tahun ini, dipacu perubahan ekonomi global dan domestik yang baik.
Antara syarikat korporat yang mencatatkan hasil positif pada suku pertama 2024 termasuk Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sebanyak RM21.3 bilion, Malayan Banking Bhd. (Maybank) (RM2.49 bilion), CelcomDigi Bhd. (RM376.46 juta), Malakoff Corporation Bhd. (RM62.2 juta) dan TH Plantations Berhad (RM13.04 juta).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, eksport negara bertambah baik apabila menerima pelbagai tempahan dari pelanggan di luar negara, terutamanya barang perkilangan dan pembuatan seperti semikonduktor, bahan kimia dan mesin.
“Setelah mengambil langkah berhati-hati tahun lalu, permintaan mulai meningkat berikutan perubahan ekonomi dunia yang dijangka lebih baik tahun ini iaitu 3.1 peratus berbanding 2.7 peratus sahaja tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menegaskan, sektor teknologi dan pembuatan semi konduktor dijangka meningkat tahun ini berikutan pengumuman pelaburan oleh Microsoft dan Google di Malaysia dengan masing-masing AS$2.2 billion (RM10.34 bilion) dan AS$2 billion (RM9.40 bilion)
“Pelaburan-pelaburan besar akan memberikan kesan positif kepada syarikat teknologi di Malaysia.
“Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dalam industri semikonduktor turut memberikan impak positif kepada Malaysia untuk menjadi negara perantara industri dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Terdahulu, MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pembinaan, tenaga, perkhidmatan kewangan, perindustrian, telekomunikasi dan media serta pengangkutan dan logistik muncul sektor yang mencatatkan jumlah pendapatan lebih baik pada suku pertama 2024 berbanding suku sebelumnya dan suku sama tahun lalu.
Perladangan
Hanya sektor perladangan yang mencatatkan peratusan pertumbuhan pendapatan berurutan dan tahunan negatif dalam tempoh Januari hingga Mac lalu.
Pada suku pertama 2024, pendapatan syarikat dalam senarai FBM KLCI 30 berada pada paras RM17.8 bilion dan ia mencatatkan pertumbuhan positif pada asas sukuan dan tahunan, masing-masing sebanyak 0.2 peratus dan 7.6 peratus.
Berdasarkan asas pelarasan, katanya, agregat pendapatan normalisasi meningkat dalam tempoh sukuan dan tahunan dengan masing-masing sebanyak 11.3 peratus dan 15.8 peratus kepada RM17.9 bilion.
Aimi Zulhazmi berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) negara tidak berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan CPO Malaysia hanya mengalami peningkatan kecil 1.08 peratus iaitu 18.75 juta tan metrik (MT) pada 2024 berbanding 18.55 juta MT pada tahun lalu.
“Dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia iaitu Indonesia dan Malaysia mengalami kadar hasil yang lebih rendah dan pertumbuhan negatif dalam kawasan tanaman kelapa sawit.
“Ia mengehadkan pertumbuhan bekalan global kerana kedua-dua negara kekal bertanggungjawab untuk sekitar 85 peratus daripada bekalan minyak sawit dunia,” ujarnya. – UTUSAN