Perdagangan Malaysia cecah rekod tertinggi 20 bulan - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia cecah rekod tertinggi 20 bulan

Jumlah perdagangan Malaysia cecah rekod tertinggi dalam 20 bulan pada Mei 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan pada Mei 2024 dengan mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun iaitu 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion, tertinggi sejak Oktober 2022.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport dilihat meningkat bagi bulan kedua secara berturut-turut, dengan peningkatan 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion.

“Sementara itu, import naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” menurut kenyataan.

Menurut MITI, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi
produk elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit.

“Pertumbuhan eksport turut didorong oleh pengeluaran produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, peralatan optik dan saintifik serta produk besi dan keluli. Eksport bagi produk E&E mengekalkan pertumbuhan positif untuk bulan kedua berturut-turut.

“Tanda-tanda pemulihan ekonomi dalam pasaran eksport utama negara dilihat di mana eksport kepada rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan peningkatan,” katanya.

Menurut kenyataan, eksport ke ASEAN dan AS meningkat dengan ketara dengan pengembangan dua angka, begitu juga, eksport kepada rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.64 bilion.

“Di antara rakan kongsi FTA yang mendaftar pengembangan eksport ialah Mexico dan Kanada, disokong oleh eksport produk E&E yang lebih tinggi.

MITI berkata, perdagangan, eksport dan import pada tempoh lima bulan pertama 2024 mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh tersebut.

“Perdagangan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport naik 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion,

“Lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini,” ujarnya.

Sementara itu, berbanding April 2024, prestasi perdagangan pada Mei 2024 dilihat kukuh dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.1 peratus, 11.8 peratus, 10.4 peratus dan 30.9 peratus.

Mengorak langkah ke hadapan, sektor pembuatan Malaysia dilihat bersedia untuk tumbuh secara positif pada 2024, disokong oleh reformasi industri yang diterajui oleh MITI serta peningkatan dalam unjuran permintaan semikonduktor global yang memberangsangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN