Perdagangan Malaysia catat RM2.6 trilion pada 2023 - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia catat RM2.6 trilion pada 2023

Jumlah perdagangan Malaysia cecah rekod tertinggi dalam 20 bulan pada Mei 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM2.6 trilion pada 2023 dengan nilai eksport RM1.4 trilion dan import bernilai RM1.2 trilion, lapor Jabatan Perangkaan.

Sebanyak lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Sarawak mencatatkan sumbangan 80.9 peratus daripada jumlah perdagangan pada 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport pada tahun lalu bernilai RM1.4 trilion, menurun sebanyak 8.0 peratus berbanding RM1.6 trilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM31.9 bilion), Selangor (-RM21.2 bilion), Sarawak (-RM20.3 bilion), Pulau Pinang (-RM20.2 bilion), Sabah (-RM17.8 bilion), Labuan (-RM7.5 bilion), Perak (-RM5.1 bilion), Pahang (-RM3.0 bilion), Melaka (-RM2.4 bilion), Terengganu (-RM1.7 bilion) dan Perlis (-RM134.1 juta).

“Walau bagaimanapun, eksport meningkat di Kedah (+RM6.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM418.7 juta), Negeri Sembilan (+RM369.4 juta) dan Kelantan (+RM354.6 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4 peratus, diikuti oleh Johor (20.3 peratus), Selangor (17.7 peratus), Sarawak (7.8 peratus) dan Kuala Lumpur (4.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengukuhan eksport disokong oleh produk litar elektronik bersepadu terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.

Selain itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor manakala gas asli cecair (LNG) merupakan penyumbang utama eksport di Sarawak

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, beliau berkata, import pada 2023 mencatatkan penurunan sebanyak 6.4 peratus atau RM82.3 bilion berbanding tahun sebelumnya

“Penurunan import dipengaruhi oleh import yang lebih rendah bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM43.8 bilion), Johor (-RM13.9 bilion), Selangor (-RM9.9 bilion), Kedah (-RM7.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM4.5 bilion), Sarawak (-RM3.3 bilion), Perak (-RM2.7 bilion), Labuan (-RM1.3 bilion), Melaka (-RM923.3 juta) dan Perlis (-RM132.8 juta).

“Namun, import meningkat di Kuala Lumpur (+RM5.1 bilion), Pahang (+RM1.9 bilion), Terengganu (+RM1.0 bilion), Kelantan (+RM246.3 juta) dan Sabah (+RM209.3 juta).

“Selangor mendominasi import negara dengan sumbangan 26.6 peratus, diikuti oleh Johor (22.4 peratus), Pulau Pinang (20.7 peratus), Kuala Lumpur (7.6 peratus) dan Kedah (5.4 peratus).

“Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Johor disumbangkan oleh keluaran petroleum bertapis.

“Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah manakala kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori merupakan penyumbang utama import di Kuala Lumpur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN