Perdagangan borong dan runcit catat nilai jualan RM144.9 bilion pada April - Utusan Malaysia

Perdagangan borong dan runcit catat nilai jualan RM144.9 bilion pada April

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM144.9 bilion, berkembang 6.6 peratus tahun ke tahun pada April 2024, menurut laporan Jabatan Perangkaan.

Laporan itu juga memaparkan statistik nilai jualan dan indeks volum bagi perdagangan borong dan runcit mengikut subsektor serta indeks jualan runcit melalui internet.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.8 bilion.

“Perdagangan borong juga meningkat dengan mencatatkan 4.8 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM63.8 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 18.1 peratus atau RM2.6 bilion untuk mencapai RM17.3 bilion.

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit turun negatif 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya dipengaruhi oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merosot negatif 8.2 peratus dan negatif 0.4 peratus.

Selain itu, bagi prestasi mengikut subsektor pula, katanya, pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 5.2 peratus atau RM1.2 bilion kepada RM24.7 bilion.

“Kumpulan lain turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (8.4 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (4.7 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (4.9 peratus) danjualan runcit makanan, minuman dan tembakau (7.2 peratus).

“Bagi jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi pula sebanyak 5.0 peratus, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.4 peratus), jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat (0.4 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (4.0 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat 1.5 peratus disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.8 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.6 peratus) dan jualan runcit bahan api kenderaan (2.9 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, jelasnya, kenaikan 4.8 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.0 bilion atau 4.2 peratus kepada RM23.9 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.6 peratus), jualan borong barangan isi rumah (4.4 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (6.7 peratus), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (2.6 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.7 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (3.2 peratus).

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong jatuh negatif 0.4 peratus disebabkan oleh pertumbuhan negatif dalam lain-lain pengkhususan jualan borong (-0.6%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (-1.0%) dan jualan borong barangan isi rumah (-0.9%),” katanya.

Sementara itu, Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 18.1 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pula dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 26.5 peratus atau RM1.8 bilion untuk merekodkan RM8.6 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (11.8 peratus) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (13.1 peratus).

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut negatif 8.2 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor (-13.4 peratus) serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-21.2 peratus),” katanya.

Beliau berkata, indeks jualan runcit melalui internet pula berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun pada April berbanding 5.6 peratus pada Mac 2024.

“Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini meningkat 2.1 peratus berbanding bulan sebelum.

“Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada april pula mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.5 peratus.

“Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (17.1 peratus), perdagangan runcit (3.5 peratus) dan perdagangan borong (2.7 peratus), manakala indeks volum pelarasan musim kembali positif 5.5 peratus bulan ke bulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya