Pelan JS-SEZ bakal lonjak pelaburan dari Singapura - Utusan Malaysia

Pelan JS-SEZ bakal lonjak pelaburan dari Singapura

Bangunan pencakar langit di tengah pusat Bandaraya Johor Bahru yang pesat membangun. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Zon Perdagangan Bebas Singapura dan Johor (JS-SEZ) bakal melonjak pelaburan dari Singapura melalui potensi besar kerjasama antara Malaysia dan Singapura, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta).

Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, sekiranya pelan tersebut dapat dilaksanakan seperti yang diilhamkan, negara akan mendapat manfaat lonjakan pelaburan dari Singapura.

“Negara bukan sahaja menerima pelaburan dari Singapura, malah juga dari negara lain yang melihat gabungan ini sebagai ‘dream team’.

“Ia bakal menjadi kerjasama yang membawa peluang pelaburan besar dengan kepakaran Singapura sebagai pusat kewangan serantau, dan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan dan perkilangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Malaysia menerima lawatan sulung daripada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas dilantik ke jawatan berkenaan dalam meningkatkan ekonomi, perdagangan dan pelaburan demi manfaat kedua-dua negara.

William berkata, sekiranya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan lain dari kedua-dua negara dapat bergabung sebagai satu pasaran dan satu sumber bekalan, ia akan menjana kesan pengganda untuk kedua-dua negara.

“Gabungan PKS dari Malaysia dan Singapura secara tidak langsung akan memperkukuh kan prestasi ringgit dan bursa, sekali gus berpotensi menaikkan gaji rakyat Malaysia serta mengekalkan lebih ramai bakat tempatan dalam negara.

“Malaysia dan Singapura adalah jiran terdekat dan mempunyai budaya yang hampir serupa. Oleh itu adalah penting kedua-dua negara memperluaskan kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, Singapura merupakan salah satu sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM43.7 bilion pada 2023.

“Potensi peluang pelaburan yang timbul daripada pelan JS-SEZ, angka ini dijangka meningkat dengan ketara.

“Zon yang ditetapkan dalam pelan itu akan memenuhi aktiviti pembuatan dan perindustrian, memberikan pelabur dari Singapura infrastruktur dan perkhidmatan sokongan yang diperlukan untuk menubuhkan kilang dan kemudahan pengeluaran, katanya.

Beliau berkata, pelaburan dalam sektor seperti elektronik, automotif dan kejuruteraan ketepatan menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Pelan JS-SEZ juga menjurus ke arah memupuk industri berteraskan inovasi seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan pembuatan termaju.

“Pelabur boleh melibatkan diri dalam taman teknologi, pusat penyelidikan dan pembangunan, dan inkubator untuk memanfaatkan bakat dan sumber yang ada dalam zon ekonomi,” katanya.

Menurutnya, pelan JS-SEZ berfungsi sebagai hab logistik penting yang menawarkan pelabur perkhidmatan logistik komprehensif, pergudangan, pusat pengedaran dan infrastruktur pengangkutan untuk pergerakan barangan.

“Pelan JS-SEZ dilengkapkan dengan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang dijangka siap pada penghujung 2026 menghubungkan rangkaian pengangkutan awam di kedua-dua belah pihak dan memudahkan pergerakan 10,000 penumpang di setiap arah sejam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya