PETALING JAYA: Pasaran saham Malaysia mengatasi negara ASEAN lain sepanjang Mei tahun ini dalam menarik pelaburan asing dan melonjakkan nilai ekuiti melebihi RM2 trillion.
Indeks Bursa Malaysia juga mengatasi paras 1,600 mata untuk pertama kali dalam 24 bulan apabila pelabur luar menjadi pembeli utama manakala negara ASEAN lain mencatatkan penjualan ekuiti.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota penyelidikannya menyatakan, pasaran saham Malaysia satu-satunya pasaran di rantau ini yang mencatatkan belian bersih oleh pelabur asing pada bulan lalu.
Bank pelaburan itu berkata, pasaran saham di Indonesia menyaksikan jualan bersih pelabur asing sebanyak AS$880 juta, Vietnam (AS$610 juta), Thailand (AS$460 juta) dan Filipina (AS$170 juta) sepanjang Mei.
Nota penyelidikan bank terbesar di Malaysia itu menyatakan belian oleh pelabur asing membabitkan saham Malaysia bernilai AS$320 juta.
“Pelabur asing menyambung semula belian bersih ekuiti Malaysia pada Mei selepas terhenti dua bulan dengan belian bersih berlaku dalam 13 daripada 21 hari dagangan.
“Belian bersih asing paling ketara dicatatkan dalam tiga minggu pertama Mei dan kemudian mencatatkan jualan bersih pada minggu keempat Mei iaitu dari 24 Mei 2024,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata, belian bersih yang dicatatkan pada Mei itu mengecilkan jualan bersih ekuiti Malaysia dari Januari hingga Mei tahun ini kepada RM770 juta.
Tambahnya, pegangan asing dalam pasaran sebahagian besarnya tidak berubah dari bulan ke bulan pada paras 19.6 peratus.
“Lima saham teratas di Malaysia yang dibeli oleh pelabur asing (mengikut nilai) pada Mei ialah Tenaga Nasional, Malaysia Airports, Inari, MyEG dan Bursa, manakala saham teratas yang dijual mereka ialah Maybank, Sunway, KL Kepong, Genting dan Public Bank,” ujarnya.
Maybank IB berkata, pada Mei 2024, jualan bersih oleh pelabur runcit dalam ekuiti tempatan merosot kepada RM830 juta berbanding RM1 bilion pada April.
“Jualan oleh pelabur runcit telah dicatatkan sejak Julai 2023, sementara institusi domestik bertukar menjadi penjual bersih dengan menjual RM660 juta ekuiti Malaysia pada Mei 2024.
“Aktiviti dagangan kekal utuh dengan purata jumlah dagangan (ADV) dalam ekuiti mencecah paras tertinggi sejak April 2021 sebanyak RM4.3 bilion pada Mei,” tambahnya.
Kemasukan dana asing bagi pembelian saham di Bursa Malaysia juga menyaksikan nilai ringgit mengukuh daripada paras terendah RM4.8 pada Februari kepada RM4.69 semalam.
Penganalisis menjangkakan nilai ringgit akan terus mengukuh ke paras menghampiri RM4.6 sebelum akhir tahun.
Ekonomi Malaysia turut berkembang 4.2 untuk suku pertama tahun ini, lebih tinggi daripada jangkaan umum sebelumnya iaitu pada 3.9 peratus. – UTUSAN