Ocean Fresh Berhad sasar RM14.01 juta melalui IPO - Utusan Malaysia

Ocean Fresh Berhad sasar RM14.01 juta melalui IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ocean Fresh Berhad (OFB), pemproses dan pedagang makanan laut beku melancarkan prospektus dengan menyasarkan RM14.1 juta bagi tawaran permulaan awam (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Permohonan untuk bahagian terbitan awam IPO akan dibuka pada 12 Jun 2024 sehingga ditutup pada 20 Jun 2024. OFB dijadual untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 4 Julai 2024.

Pengarah Eksekutif OFB, Teo Chee Han berkata, OFB dijangka mengumpulkan kira-kira RM14.01 juta daripada latihan IPO melalui terbitan 50.05 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.28 sesaham.

“Syarikat akan menggunakan 57.09 peratus atau RM8.00 juta daripada hasil yang akan dikumpulkan sebagai perbelanjaan modal untuk kemudahan penyimpanan sejuk baharu di Kuantan, Pahang.

“Selain itu, 17.94 peratus atau RM2.51 juta akan digunakan untuk keperluan modal kerja dan baki 24.97 peratus atau RM3.50 juta akan digunakan untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian, katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan makanan laut per kapita di Malaysia berjumlah 52.7 kilogram (kg) pada tahun 2021 menjadikan Malaysia sebagai salah satu pengguna makanan laut tertinggi di Asia Pasifik.

“Kami menjangkakan permintaan untuk makanan laut di Malaysia akan terus meningkat dipacu oleh peningkatan taraf hidup dan pendapatan boleh guna penduduk.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang dari RM1.2 trilion pada tahun 2015 kepada RM1.8 trilion pada tahun 2023 dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 5.2 peratus.

“Kami percaya pertumbuhan jangka panjang pendapatan boleh guna ini akan menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk makanan laut, termasuk produk makanan laut beku,” katanya.

Beliau berkata, OFB percaya latihan IPO itu akan menjadi penting dalam membolehkan mereka memenuhi permintaan yang semakin meningkat dengan melihat kepada landskap ini,.

“Ini sekali gus memenuhi perancangan untuk mengembangkan eksport produk makanan laut beku ke pasaran antarabangsa, terutamanya China serta menerokai pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut kering,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya