OCBC sedia pembiayaan RM1.26 billion baiki hartanah PNB di London - Utusan Malaysia

OCBC sedia pembiayaan RM1.26 billion baiki hartanah PNB di London

One Exchange Square, 175 Bishopsgate, London
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC) menyediakan Kemudahan Pembiayaan Lestari Islam pertama untuk anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), PNB Jersey Ltd, sebanyak £210 juta (RM1.26 bilion).

OCBC Malaysia ialah pengatur utama tunggal dan penasihat penstrukturan lestari bagi kemudahan hijau yang bertujuan membiayai kerja baik pulih hartanah pelaburan PNB yang terletak di One Exchange Square, 175 Bishopsgate, London.

Hartanah tersebut ialah sebuah menara pejabat yang telah direka bentuk untuk mendapatkan penarafan Cemerlang di bawah Kaedah Penilaian Alam Sekitar Badan Penyelidikan Bangunan (BREEAM) dengan sasaran Penarafan Lima Bintang NABERS UK apabila siap kelak.

Usaha ini membuktikan komitmen PNB untuk melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan melabur dalam aset hijau dan peralihan. Selepas kerja baik pulih siap pada 2026, bangunan ini dijangka mencapai emisi karbon bersih sifar secara tergabung menerusi kecekapan tenaga, elektrifikasi dan penjanaan tenaga di lokasi.

Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik PNB, Rick Ramli berkata, PNB telah menetapkan 10 komitmen ESG dalam Rangka Kerja Kelestarian yang dilancarkan pada 2022 termasuk melabur sehingga RM10 bilion modal baharu dalam aset hijau dan peralihan menjelang 2030.

Katanya, sebagai syarikat pengurusan dana berkaitan kerajaan, adalah penting bagi PNB untuk menerapkan pertimbangan ESG dalam keputusan pelaburan agar selaras dengan usaha untuk mengenal pasti peluang mencipta nilai dan menguruskan risiko ESG.

“Kami bertekad untuk memastikan peralihan secara beransur ke arah masa depan lebih hijau dan lestari untuk membina ketahanan jangka panjang, dalam persekitaran pelaburan global yang kian berubah serta kerja baik pulih hartanah adalah sebahagian penting daripada usaha kami ke arah pelaburan dalam aset hijau dan peralihan.

“Dengan memastikan unsur sosial diterapkan sebagai sebahagian daripada amalan terbaik ESG, kami telah membuat keputusan menyumbangkan bahan-bahan tertentu yang dikeluarkan semasa merobohkan hartanah seperti keluli dan kemasan dalaman kepada sebuah pertubuhan amal tempatan di London.

“Bahan-bahan yang disumbangkan daripada One Exchange Square akan digunakan dalam pembinaan bilik darjah asuhan kanak-kanak kecil di sebuah sekolah rendah sedia ada dan kami berbangga untuk memainkan peranan dalam menyokong masyarakat setempat.

“Kerjasama kami dengan OCBC Malaysia dalam pembiayaan lestari Islam sulung ini menunjukkan komitmen bersama kami untuk mewujudkan masa depan yang lebih bertanggungjawab kepada alam sekitar, terangkum dari segi sosial dan rendah karbon, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya