NRES kementerian pertama sertai Program Karbon Korporat MAG - Utusan Malaysia

NRES kementerian pertama sertai Program Karbon Korporat MAG

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (TENGAH) ketika pelancaran Laporan Kemampanan MAG 2023 di MAB Academy, KLIA Sepang di sini, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjadi kementerian pertama menyertai Program Offset Karbon Korporat yang diperkenalkan oleh Malaysia Aviation Group (MAG).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian untuk mengimbangi pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam setiap perjalanan rasmi.

Jelasnya, pendekatan tersebut juga merupakan satu cara untuk menggalakkan kemampanan selain memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana untuk melakukan perkara serupa.

“Tahun lalu MAG telah menaja rombongan Malaysia ke COP28 (Persidangan Perubahan Iklim PBB) di Dubai untuk ‘offsetting’ dan kita memikirkan sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab untuk perubahan iklim serta dekarbonisasi negara, maka ia menjadi satu kerjasama dengan pihak MAG untuk usaha-usaha mengurangkan pelepasan karbon.

“Selain itu, kita juga akan bawa perkara ini ke Kabinet menerusi Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan.

“Secara realistik walaupun bukan semua kementerian boleh terlibat, tetapi kita harap beberapa daripadanya dapat menyokong usaha ini kerana ini merupakan perjalanan ke arah dekarbonisasi dan kemampanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Kelestarian 2023 MAG di sini semalam.

Pada 21 Jun 2023, media melaporkan Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melancarkan program mengimbangi karbon secara sukarela.

Inisiatif itu membolehkan pelanggan individu dan korporat mengira, memahami dan mengimbangi pelepasan karbon yang dikaitkan dengan penerbangan mereka dengan menyokong projek mengimbangi karbon yang disahkan apabila menempah penerbangan melalui laman web syarikat penerbangan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, program mengimbangi karbon secara sukarela dijangka tersedia kepada pelanggan kargo pada September tahun ini.

“Kita menekankan komitmen untuk mengembangkan portfolio projeknya dan memasukkan lebih banyak projek karbon nasional serta terus melabur dalam inisiatif mampan dalam komuniti tempatan,” ujarnya.

MAG pada tahun lalu mempelopori program pengimbangan karbon sukarela di Malaysia yang membolehkan penumpang Malaysia Airlines mengimbangi pelepasan yang berkaitan dengan penerbangan mereka dengan menyokong projek karbon yang disahkan.

Program itu kemudiannya diperluaskan kepada pelanggan korporatnya pada Mac tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya