NIMP 2030 peluang kepada bank dan pasaran modal tawar produk pembiayaan - Utusan Malaysia

NIMP 2030 peluang kepada bank dan pasaran modal tawar produk pembiayaan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberikan peluang baharu kepada bank dan pasaran modal untuk berinovasi dan menawarkan produk pembiayaan yang sesuai untuk membiayai sektor dan teknologi baharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun institusi kewangan sentiasa melihat keuntungan jangka pendek, seluruh sektor juga mesti mengambil perspektif jangka panjang dalam membiayai agenda pembaharuan struktur ini.

Katanya, ciri pembaharuan yang berjaya dan pembinaan negara yang sebenar adalah permainan akhir yang menang-menang untuk semua pihak berkepentingan, sekali gus menjamin pertumbuhan mampan masa depan Malaysia juga menjamin aliran pendapatan masa depan bank dan institusi kewangan.

“Kami ingin menjemput sektor kewangan untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam mencapai misi yang digariskan oleh NIMP 2030 dan dasar terbaharu kami, Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Mei 2024.

“Sebagai bekas ‘banker,’ (pegawai bank) saya yakin sepenuhnya bahawa ini akan menjadi (situasi) ‘menang-menang’ untuk institusi kewangan,” katanya pada ucapan pada hari kedua di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 di sini, semalam.

Zafrul berkata, dari segi pembiayaan, kerajaan menganggarkan sejumlah RM95 bilion pelaburan diperlukan dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dengan peruntukan RM8.2 bilion daripada kerajaan.

Ujarnya, ini bermakna sektor swasta mesti memainkan peranan penting dalam memacu misi NIMP.

“Walaupun angka itu mungkin menakutkan, saya menyeru sektor perbankan dan kewangan untuk menyahut cabaran dan mengambil peluang ini untuk mencipta perubahan yang memberi kesan.

“Saya yakin bahawa bersama-sama, kita boleh mencapai sasaran ini terutamanya kerana pembiayaan inovatif mampu memacu industri baharu.

“Ini boleh dilakukan dengan membenamkan dimensi baharu tentang cara bank dan sektor kewangan menilai risiko, terutamanya yang berkaitan dengan teknologi baharu, iklim dan pertimbangan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya