KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Microsoft Malaysia untuk meneroka manfaat sosioekonomi kecerdasan buatan (AI).
Usaha termasuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital itu mampu dicapai susulan memorandum persefahaman (MoU), serta pelancaran program pembangunan kapasiti dalam AI iaitu MCMC-Microsoft AI TEACH.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan program itu bersama MCMC dijangka akan memanfaatkan seramai 1,600 ahli komuniti berhampiran pusat sebaran maklumat nasional (NADI), terutamanya golongan rentan untuk menerima latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI.
“Kita akan bermula dengan 1,600 peserta dahulu dan akan melihat perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi penyertaan, serta memastikan tiada negeri dan bahagian parlimen yang tertinggal.
“Buat masa sekarang, NADI mempunyai 911 pusat dan 186 pusat sedang dalam proses binaan. Jadi, untuk lebih 1000 pusat NADI ini akan membantu untuk meningkatkan penyertaan di dalam program ini.
“Program ini juga akan membantu meningkatkan kebolehpasaran 1,000 orang peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs di bawah PERKESO dan mengikuti kelas secara fizikal selama dua hari sebelum penganugerahan sijil.,” katanya selepas pelamcaran MCMC – Microsoft AI TEACH dan pertukaran MoU antara MCMC dan Microsoft Malaysia, di sini, semalam.
Katanya, program itu menekankan kepada empat modul utama iaitu pengenalan kepada AI, pengenalan kepada AI Janaan, penggunaan AI untuk meningkatkan kebolehpasaran dan penggunaan beretika untuk AI.
“Kerjasama ini akan menyaksikan penerimagunaan perisian Microsoft oleh MCMC bagi merintis penggunaan AI, serta pendekatan kepada penerimagunaan AI yang bertanggungjawab.
“Program ini satu usaha baik untuk meningkatkan kefahaman rakyat berkaitan penggunaan AI dan aplikasi sama ada bagi proses pihak MCMC dan dimanfaatkan NADI di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN