MBSB sasar pertumbuhan portfolio kewangan RM44 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

MBSB sasar pertumbuhan portfolio kewangan RM44 bilion tahun ini

Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Rafe Haneef (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Shahnaz Farouque Jammal Ahmad pada Mesyuarat Agung Tahunan MBSB di Menara MBSB Bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) menyasarkan pertumbuhan portfolio kewangan RM44 bilion tahun ini, berbanding RM42.9 bilion tahun sebelumnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, melihat kepada pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, bank itu mempunyai RM9.8 bilion nilai ekuiti.

Pada tahun ini, MBSB menyasarkan empat hingga lima peratus sasaran ROE menjelang hujung tahun ini. 

“Jadi, (ROE) akan datang dari pertumbuhan kewangan sekitar lapan hingga sembilan peratus. Ketika ini, ROE pada kadar di RM42.9 bilion untuk suku pertama 2024. 

“Saya merasakan pertumbuhan kewangan yang baik dan kami perlu memastikan pertumbuhan itu memberi kita margin keuntungan. 

“Oleh itu, panduan kami adalah dua peratus dari keuntungan bersih dan pada masa yang sama, memastikan kos kita terkawal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MBSB di sini. 

Dalam pada itu, Rafe menjelaskan, pada Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) ke-54 itu, MBSB turut melancarkan FLIGHT26 yang merupakan pelan perniagaan strategik tiga tahun kumpulan yang direka untuk meningkatkan keuntungan. 

Katanya, MBSB menggariskan empat misi utama pelan itu bagi meningkatkan nisbah Akaun Semasa atau Simpanan Konvensional (CASA) kumpulan kepada 20 peratus mengembangkan portfolio pembiayaan sebanyak RM50 bilion.

“Ia meningkatkan pendapatan tidak dibiayai kepada 15 peratus daripada hasil bersih dan mencapai kos optimum untuk nisbah pendapatan sebanyak 50 peratus menjelang 2026. 

“Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan ROE dengan ketara. Untuk merealisasikan matlamat ini, FLIGHT26 disokong oleh 30 program transformasi atau dikenali TP30. 

“Ini termasuk 12 program dalam perbankan borong, enam dalam perbankan komersial, sembilan dalam perbakan pengguna dan tiga dalam perbankan digital,” katanya. 

AGM itu dipengerusikan oleh Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, turut meluluskan dividen 3.5 sen sesaham.

Sebelum ini, MBSB mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM491.8 juta bagi tahun fiskal berakhir 31 Disember 2023, menandakan peningkatan 6.9 peratus daripada tahun sebelumnya. 

Jumlah pembiayaan kumpulan meningkat sembilan peratus kepada RM42 bilion yang melepasi purata pertumbuhan industri sebanyak lima peratus, manakala, deposit pelanggan melonjak sebanyak 30.58 peratus tahun ke tahun, mencecah RM47.62 bilion. 

Pertumbuhan dalam deposit juga menandakan peningkatan progresif dalam nisbah CASA daripada 6.22 peratus kepada 7.06 peratus.

Sementara itu, sempena mesyuarat itu, pemegang saham meluluskan semua resolusi, termasuk cadangan untuk menamakan semula syarikat itu daripada Malaysia Building Society Berhad kepada MBSB Berhad. 

Perubahan ini mencerminkan evolusi Kumpulan menjadi entiti perbankan yang lebih besar berikutan kejayaan penggabungan dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang telah selesai pada 2 Oktober 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya