PUTRAJAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan seterusnya diserap dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai satu entiti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan ini bagi tujuan penggabungan itu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri secara prinsip pada 11 Disember 2019 mengenai pembubaran MAVCOM sebelum fungsinya dipindahkan kepada CAAM.
“Penggabungan ini bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.
“Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapat kelulusan berasingan daripada dua agensi sebaliknya, satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.
Tegas Anthony, penggabungan terserbut kelak tidak akan membabitkan implikasi kewangan dan kakitangan MAVCOM pula tidak akan diberhentikan sebaliknya mereka diserap masuk dalam CAAM.
“Penggabungan ini dijangka berlaku sepenuhnya tahun depan. Bulan bila dan tarikh bila akan diumumkan kelak. Kita jangka ia akan mengambil masa.
“Saya tidak mahu dedahkan jumlah kakitangan yang terbabit dalam penggabungan itu buat masa ini cuma akan ada perjawatan baharu diwujudkan,” katanya.
Jelasnya lagi, entiti tunggal seperti itu turut diguna pakai di beberapa buah negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan China.
Menurutnya, pembaharuan ini dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada termasuk mewujudkan kumpulan pakar ekonomi dan teknikal di bawah suatu entiti.
MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.
CAAM pula bertanggungjawab dalam pengawalseliaan teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh ICAO.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 24 Jun hingga 18 Julai disusuli mesyuarat ketiga selama 35 hari dari 7 Oktober hingga 5 Disember. – UTUSAN