Matrade, Amazon jalin kerjasama perkukuh eksport PKS - Utusan Malaysia

Matrade, Amazon jalin kerjasama perkukuh eksport PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan firma gergasi e-dagang Amerika Syarikat (AS), Amazon menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan transaksi e-Dagang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. 

MoU itu juga akan menyaksikan PKS Malaysia dilengkapi dengan pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan kehadiran mereka di e-Stores Amazon dan memperkenalkan jenama mereka di Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama itu akan mengukuhkan usaha Matrade dan Amazon untuk membantu pemilik dan penjual jenama Malaysia merebut peluang perniagaan rentas sempadan di pentas global. 

Ujarnya, di bawah perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan bergabung untuk memimpin inisiatif ‘Go Global with Amazon and Matrade’ yang membantu pemilik jenama dan penjual Malaysia mengejar peluang perniagaan lintas sempadan dengan Jualan Global Amazon. 

“Bersama Amazon, kami menyediakan PKS Malaysia dengan alat, pengetahuan dan sokongan yang penting untuk berjaya di pasaran global yang kompetitif hari ini.

“Jualan Global Amazon akan berkongsi pandangan dan kepakaran, memfasilitasi bengkel latihan, serta membimbing perniagaan melalui perjalanan penjual Amazon termasuk pendaftaran akaun, persediaan produk, senarai, penghantaran, pengiklanan dan lain-lain,” katanya.

Pertukaran MoU itu adalah bersempena dengan pembukaan Pejabat Perdagangan baharu Matrade di Singapura, tambahan terbaharu kepada rangkaian pejabat global Matrade yang terletak di bandar strategik untuk memacu pertumbuhan perdagangan dan meluaskan akses pasaran untuk Malaysia.

Pejabat baharu itu dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang turut menyaksikan pertukaran MoU tersebut.

Menurut Zafrul, Pejabat Perdagangan Singapura Matrade mewakili peluang penting dan ketara untuk perniagaan Malaysia dan Singapura. 

“Selain daripada peranan pentingnya dalam menghubungkan perniagaan dari kedua-dua negara, ia juga akan membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan kewujudan Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan serantau yang lebih besar.

“Kami juga memuji inisiatif antara Matrade dan Amazon Global Selling untuk membantu membangunkan perniagaan pemilik jenama Malaysia. 

“Ini penting untuk membantu lebih banyak PKS berkembang melangkaui pasaran semasa mereka, sambil memastikan keterangkuman supaya pertumbuhan ekonomi rantau ini juga boleh dinikmati oleh perniagaan yang lebih kecil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya