Malaysia sasar bawa pulang RM13 bilion pada Ekspo Dunia 2025 - Utusan Malaysia

Malaysia sasar bawa pulang RM13 bilion pada Ekspo Dunia 2025

TIMBALAN Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhillah Yusof bersama Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat replika pavilion Malaysia pada Majlis Pelancaran Penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka di Menara MITI, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimis dapat menjana potensi eksport dan pelaburan bernilai RM13 bilion daripada penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Kansai, Jepun pada 13 April hingga 13 Oktober 2025.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sasaran itu melebihi RM8.3 bilion yang dijana melalui nilai perdagangan dan pelaburan daripada Ekspo Dunia Dubai dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

“Sebelum ini, Malaysia telah menyertai Ekspo Dunia Dubai pada 2022 membabitkan lebih daripada 400 syarikat Malaysia dan menjana hampir 5,000 peluang perniagaan.

“Oleh itu, MITI optimis Ekspo Dunia 2025 mampu menjana potensi bernilai sekitar RM13 bilion untuk eksport dan pelaburan daripada penyertaan Malaysia,” katanya.

Majlis tersebut diluncurkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Zafrul, untuk Ekspo Dunia 2025, sebanyak 161 negara dan sembilan organisasi antarabangsa telah mengesahkan penyertaan setakat ini dan dianggarkan sejumlah 28.2 juta pengunjung akan menghadiri ekspo selama enam bulan tersebut.

Katanya, Pavilion Malaysia di ekspo itu akan mempamerkan kemajuan dan aspirasi negara dalam pertanian mampan, peralihan tenaga, kehidupan pintar, pembuatan termaju, pengurusan alam sekitar dan pelancongan hijau.

“Kami ingin menunjukkan bagaimana Malaysia menangani cabaran global secara inovatif untuk menyumbang kepada kesejahteraan planet kita dan masa depan yang lebih mampan, harmoni dan saksama untuk manusia.

“MITI teruja untuk mengetuai kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan utama, termasuk kementerian, agensi, kerajaan negeri dan perniagaan,” katanya pada majlis peluncuran penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 di Osaka di Menara MITI di sini, hari ini.

Zafrul berkata, Pavilion Malaysia akan mempunyai siri minggu bertema di tapak, pameran dan dialog yang akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif.

Katanya, pihaknya mahu menjalin perkongsian ke arah dunia yang lebih mampan dan saksama, disokong oleh dasar utama dengan kemampanan pada terasnya seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Rangka Kerja Industri ESG Kebangsaan (i-ESG).

“Kami berhasrat untuk memanfaatkan platform strategik ini bagi menarik pelaburan berkualiti dan teknologi tinggi ke Malaysia serta untuk memperluas pasaran sedia ada dan meneroka pasaran baharu.

“Kerajaan juga akan memudah cara perbincangan perniagaan melalui Pavilion Malaysia dengan menyediakan ruang dan pelbagai sokongan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan Malaysia, serta membina perkongsian strategik,” ujarnya.

Tema Pavilion Malaysia iaitu ‘Menjalin Masa Depan dalam Harmoni’, melengkapkan tema ekspo itu iaitu ‘Membentuk Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan Kita.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN