Lynas peruntuk capex AS$25 juta untuk pengeluaran dua produk HRE - Utusan Malaysia

Lynas peruntuk capex AS$25 juta untuk pengeluaran dua produk HRE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lynas Rare Earths (Lynas) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) AS$25 juta (RM117.93 juta) untuk memudahkan pengeluaran pertama Lynas Malaysia bagi dua produk nadir bumi berat yang diasingkan (HRE) menjelang 2025.

Menurut kenyataan, kira-kira AS$25 juta capex untuk projek itu akan ditampung dalam Pelan Perindustrian Lynas Malaysia yang didedahkan sebelum ini.

Katanya, satu proses baharu yang pertama kali dilaksanakan akan menghasilkan disprosium (Dy) dan terbium (Tb) berasingan di Lynas Malaysia, sekali gus melengkapkan rangkaian produk nadir bumi ringan (LRE) sedia ada.

“Dy dan Tb adalah penting untuk magnet kekal nadir bumi berprestasi tinggi yang digunakan dalam kenderaan elektrik dan aplikasi berteknologi tinggi seperti kapasitor mikro yang penting untuk semua peranti elektronik.

“Pada masa ini, Dy, Tb dan oksida HRE lain daripada badan bijih Mt Weld dijual sebagai sebatian HRE, campuran yang dikenali sebagai SEGH,” katanya.

Lynas berkata, konfigurasi semula salah satu litar pengekstrakan pelarut Lynas Malaysia akan memudahkan pengeluaran Dy dan Tb.

Jelasnya, litar baharu itu direka dengan kapasiti untuk memisahkan sehingga 1,500 tan SEGH setahun.

“Reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan (FEED) telah disiapkan dan reka bentuk kejuruteraan terperinci sedang dijalankan, dengan pentauliahan dan peningkatan dijangka pada pertengahan 2025,” ujarnya.

Hasil daripada pemisahan Dy dan Tb daripada kompaun SEGH, rangkaian produk HRE Lynas akan meningkat kepada lima produk iaitu Dy; Tb; Samarium/Europium/Gadolinium yang tidak diasingkan; Holmium dan SEGH yang tidak diasingkan.

Pada masa yang sama, Lynas sedang meneruskan aktiviti pra pembinaan untuk Kemudahan Pemprosesan Nadir Bumi AS yang dirancangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze berkata, deposit Mt Weld Lynas adalah luar biasa kerana pemberian mineral HRE serta nadir bumi ringan.

Katanya, konfigurasi semula litar di Lynas Malaysia ini menyediakan laluan untuk mempercepatkan komitmennya untuk memproses semua elemen dalam badan bijih Mt Weld.

‘’Dy dan Tb adalah input penting kepada magnet berprestasi tinggi dan peranti elektronik. Kami berbesar hati untuk meningkatkan rangkaian produk kami untuk memenuhi keperluan pelanggan semasa dan bakal pelanggan.

“Pengasingan awal HRE di Fasiliti Malaysia kami merupakan perkembangan yang menarik untuk syarikat dan langkah pertama ke arah menawarkan rangkaian produk HRE yang diperluas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya